Tukang rumah didakwa tipu jual beli tanah

Zainondin (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua pertuduhan menipu dalam urusan penjualan tanah dan permohonan lesen pendudukan sementara membabitkan kerugian RM36,000 antara 2018 dan 2020.
Zainondin (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua pertuduhan menipu dalam urusan penjualan tanah dan permohonan lesen pendudukan sementara membabitkan kerugian RM36,000 antara 2018 dan 2020.
A
A
A

KUANTAN - Seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua pertuduhan menipu dalam urusan penjualan tanah dan permohonan lesen pendudukan sementara membabitkan kerugian RM36,000 antara 2018 hingga 2020.

Zainondin Idris, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari dan Majistret Nurul Farahah Mohd Sauh.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada lapan anak itu didakwa telah menipu, Rolselan Md Nor, 53, dalam urusan permohonan lesen pendudukan sementara dan mendapatkan dua geran tanah lot di Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan.

Penipuan tertuduh telah mendorong Rolselan menyerahkan wang RM24,000 bagi membolehkan urusan itu dilakukannya.

Perbuatan terbabit dilakukan Zainondin di kedai tomyam di Seberang Balok di sini, jam 7 petang pada 6 Disember lalu.

Tertuduh didakwa menipu Zainal Abidin Abdul Rahman, 56, dalam urusan pembelian dua tanah lot seluas 0.3 hektar di Sri Damai, di sini dan mendorong mangsa menyerahkan wang RM12,000 kepadanya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan olehnya di kafe Pejabat Tanah dan Galian di sini, jam 11 pagi, pada 18 Disember 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika didapati bersalah.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Aini Adila Mohd Faizal dan Wan Azreen Wan Zaid, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman, Mohd Azlan Mohd Arish@Arshad.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dan kes disebut semula pada 25 Januari depan.