PDRM buru kumpulan bergaduh di Bukit Bintang

Polis buru kumpulan individu yang tular bergaduh berhampiran stesen monorel Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Polis buru kumpulan individu yang tular bergaduh berhampiran stesen monorel Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu sekumpulan individu bergaduh berhampiran stesen monorel Bukit Bintang di sini yang video mereka kemudian tular.

Rakaman berdurasi 22 saat itu memaparkan kejadian yang didakwa berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam dimuat naik di Facebook pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan video berkenaan pada Isnin dan sedang memburu individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

"Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sedang menjalankan pengesanan ke atas kumpulan individu yang terlibat sebaik sahaja video tersebut tular dan siasatan akan dijalankan berkenaan kejadian ini," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Beliau berkata, PDRM tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Pada masa sama, beliau memohon saksi kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.