Banjir: Jumlah mangsa di PPS terus menurun

Sebahagian mangsa-mangsa banjir sekitar Panchor yang ditempatkan di PPS di Kompleks Sukan Pagoh pada Sabtu. - Foto Bernama
Sebahagian mangsa-mangsa banjir sekitar Panchor yang ditempatkan di PPS di Kompleks Sukan Pagoh pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di seluruh negara setakat pagi Selasa semakin pulih apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin menurun di tiga negeri yang masih terjejas iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

Di Johor, banjir semakin surut dan jumlah mangsa terus mencatatkan penurunan kepada 2,298 orang setakat jam 8 pagi Selasa, berbanding 2,935 individu pada petang Isnin.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, empat daerah masih terjejas banjir di negeri itu melibatkan 35 PPS dengan Muar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 873 orang, diikuti Segamat (734), Tangkak (610) dan Batu Pahat (81).

"Dua PPS telah ditutup iaitu Balai Raya Padang Kiambang dan Kompleks Penghulu Mukim Pogoh di Segamat, berikutan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing," katanya.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan 66 mangsa daripada 15 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Temai di Pekan pagi Selasa.

Sementara itu, PPS terakhir di Rompin yang menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga menamatkan operasinya malam Isnin apabila mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jabatan Meteorologi turut meramalkan cuaca baik di daerah Pekan sepanjang Selasa.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa banjir di Melaka kini berjumlah 124 orang daripada 36 keluarga pagi Selasa dan semuanya masih ditempatkan di tiga PPS di Jasin.

Artikel Berkaitan:

"Cuaca di seluruh negeri ketika ini dilaporkan cerah, namun penduduk di lokasi berhampiran Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar yang kekal mencatatkan paras bahaya, dinasihatkan agar sentiasa berwaspada," katanya dalam kenyataan pada Selasa. - Bernama