Tegakkan 'rule of law' untuk kes Azam Baki

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

SHAH ALAM - Jangan sewenang-wenang menghukum seseorang melalui perang media sebaliknya semua pihak perlu menegakkan 'rule of law' bagi memastikan keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau memandang serius isu yang hangat diperkatakan oleh media mengenai tuduhan urusniaga saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, semua pihak perlu menegakkan 'rule of law' di dalam kes yang melibatkan penjawat awam, selain tidak sewenang-wenangnya menghukum mereka melalui perang media.

Beliau berkata, sebagai penjawat awam yang menjalankan tugas, ada kala mereka sering kali dijadikan sasaran ekoran ketegasan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

"Semua pihak mesti memberi ruang yang seluas-luasnya supaya siasatan dapat dijalankan tanpa prejudis oleh pihak berkuasa termasuk daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau siasatan dalaman oleh SPRM sendiri.

"Tan Sri Azam Baki sendiri telah membuat penjelasan berkenaan isu ini pada 6 Januari lalu, sekali gus menunjukkan tahap integriti tinggi beliau sebagai penjawat awam dan mengamalkan sifat keterbukaan.

"Kerelaan beliau untuk disiasat oleh pihak berkuasa juga harus dipuji dan isu kebertanggungjawaban beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak harus dibangkitkan di dalam hal ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Januari lalu yang menyatakan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa, sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan berdiam diri berhubung isu kontroversi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, penjelasan oleh Datuk Dr Marzuki Mohamad iaitu bekas Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas menunjukkan pelantikan Azam adalah di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jelasnya, di bawah seksyen tersebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Maka suara-suara 'nyaring' dalam media yang menggembar-gemburkan isu urus niaga saham ini dan mahukan Azam Baki dilucutkan jawatan nampaknya mempunyai agenda tertentu apabila tidak menurut 'rule of law' di mana 'innocent until proven guilty' adalah asas keadilan.

"Nampaknya mereka ingin menghukum beliau sebelum ada perbicaraan dan bukti yang kukuh menurut undang-undang negara," katanya.

Tegasnya lagi, agensi penting seperti SPRM amat penting dalam agenda membanteras rasuah dan perang media untuk memulaukan Azam dengan memainkan isu sebegini adalah bertujuan memberi persepsi negatif terhadap reputasi beliau dan SPRM sendiri.

Untuk itu katanya, penjawat awam khasnya SPRM perlu terus menjalankan tugas mereka dengan berani dan tidak harus takut untuk menjalankan amanah hanya kerana ada pihak tertentu yang berkomplot menjatuhkan imej penjawat awam sebelum ada bukti kukuh serta perbicaraan di peringkat mahkamah.