Apa lagi selepas Deltacron?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LAPORAN media yang memetik seorang pakar pernafasan di Hospital Vichaiyut Bangkok, Thailand, Dr Manoon Leechawengongs yang menjangkakan varian Omicron menjadi petunjuk bahawa pandemik Covid-19 akan berakhir adalah satu berita gembira.

Walaupun ia bukanlah mewakili kenyataan majoriti pakar seluruh dunia, tapi ia memberi sedikit kelegaan kerana memasuki tahun 2022, sudah tiga tahun dunia berdepan dengan pandemik ini.

Tambahan pula, varian Omicron dilaporkan kurang berbahaya berbanding strain Delta yang sebelum ini mudah merebak dan menyebabkan peningkatan jumlah kematian.

Ramai mengharapkan akan ada laporan pakar lain yang menjurus kepada berakhirnya pandemik ini kerana majoriti masyarakat dunia amat terkesan dengan pandemik ini.

Tapi apakan daya, dalam mengharapkan agar pandemik ini berakhir, muncul pula strain baharu menggabungkan varian Delta dan Omicron ditemukan di Cyprus.

Menurut Profesor Sains Biologi dan Ketua Makmal Bioteknologi dan Virologi Molekul Universiti Cyprus, Leondios Kostrikis, terdapat jangkitan bersama Omicron dan Delta dan pihaknya mendapati strain tersebut adalah gabungan kedua-duanya.

Katanya, penemuan itu dinamakan ‘Deltacron’ kerana pengenalpastian tanda genetik seperti Omicron dalam genom Delta.

Tambah beliau, pihaknya akan lihat pada masa hadapan jika strain itu lebih patologi, menular atau jika ia akan mengatasi Delta dan Omicron.

Artikel Berkaitan:

Dan dengan penemuan Deltacron, ramai menjangkakan akan muncul macam-macam nama lagi selepas ini.

Walau apa pun namanya sama ada mirip Transformers ataupun yang hujungnya 'ton ton', ramai mengharapkan strain baharu ini tidak berbahaya.

Kita semua tidak lagi sanggup berdepan dengan lagi varian baharu kerana impak sebelum ini terhadap kehidupan, ekonomi amat besar dan kesannya masih dirasai hingga kini.

Oleh itu, apa sahaja namanya, yang penting harapan kita semua adalah ia tidak berbahaya dan kita boleh bergerak ke depan dalam fasa pemulihan.