Lebih 5,000 kes Omicron di Thailand

Bangkok mendahului senarai 1,820 kes Omicron diikuti Chonburi 521 kes dan Phuket 288 kes. Gambar hiasan
Bangkok mendahului senarai 1,820 kes Omicron diikuti Chonburi 521 kes dan Phuket 288 kes. Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Thailand catat 5,397 kes varian Omicron yang mudah berjangkit di 71 daripada 77 wilayahnya, setakat ini.

Pengarah Biro Komunikasi Risiko dan Pembangunan Tingkah Laku Kesihatan Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Sumanee Watcharasin berkata sejak 1 November lepas, varian Omicron menyumbang 35.17 peratus kes baharu Covid-19.

Beliau berkata, Bangkok mendahului senarai 1,820 kes Omicron diikuti Chonburi 521 kes dan Phuket 288 kes.

“Varian Delta masih merupakan strain Covid-19 yang dominan di Thailand, menyumbang 64.71 peratus manakala Alpha dan Beta masing-masing menyumbang 0.01 peratus dan 0.03 peratus,” katanya pada sidang media pada Isnin.

Data oleh Jabatan Kawalan Penyakit menunjukkan varian Omicron adalah varian Covid-19 yang dominan dalam seminggu antara 2 hingga 8 Januari menyumbang 70.3 peratus kes baharu manakala Delta menyumbang 29.7 peratus dalam tempoh yang sama.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, Thailand melaporkan 7,926 kes baharu Covid-19, termasuk 412 kes import dan 13 kematian, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan sebanyak 2,277,476 kes dan 21,838 kematian, setakat ini.

Dr Sumanee berkata 412 kes import termasuk 398 pelancong yang masuk melalui program tanpa kuarantin "Test & Go" dan "Sandbox".

Beliau berkata 13 kematian baharu melibatkan sembilan wanita dan empat lelaki berumur antara 30 dan 89 tahun dengan 10 daripadanya tidak divaksin atau hanya menerima satu dos vaksin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Thailand merancang untuk mempergiat program ujiannya untuk mengesan kes Covid-19 bagi membendung kes Omicron dalam negara, kata jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana.

Beliau berkata, ujian proaktif dan mengasingkan pesakit Covid-19 akan membendung penularan virus itu.

"Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan agensi dan jabatan berkaitan untuk bersiap sedia menghadapi lonjakan kes Covid-19 yang didorong oleh varian Omicron," katanya.- Bernama