Status bekas pemain tidak cukup, jurulatih perlu kemahiran tinggi

Mohd Firdaus
Mohd Firdaus
A
A
A

STATUS sebagai bekas pemain kebangsaan sahaja tidak cukup bagi seseorang bergelar jurulatih untuk melahirkan pemain berkualiti tinggi di atas padang.

Sebaliknya, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed menegaskan jurulatih bukan sahaja perlu menerangkan aspek taktikal semata-mata namun perlu memiliki kemahiran di samping bekerja keras dalam melonjakkan prestasi anak buahnya.

“Dulu pemain buat kerja lebih namun zaman sekarang tak macam itu kerana jurulatih perlu buat kerja keras, contohnya jika pemainnya bermain sebagai pertahanan kanan, beliau kena pastikan pemain itu benar-benar memahami peranannya.

“Saya lihat hari ini asas pemain kita minta maaf ‘ke laut’... sebab itu pemilihan individu khususnya dalam akademi bola sepak perlu berkemahiran... kita nak orang berkemahiran tinggi mengajar bukan sekadar (pernah) main wakili negara,” katanya pada sidang akhbar ketika Taklimat Pasukan Piala Presiden dan Piala Belia 2022 di sini pada Isnin.

Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Bukan sahaja jurulatih, Mohd Firdaus menekankan pengurus pasukan juga perlu mempunyai asas atau ilmu bola sepak dalam memberi pandangan bernas kepada jurulatih untuk membuat keputusan.

“Katakanlah seorang pemain ini kerap melakukan kesilapan dan pengurus pasukan boleh beri pandangan kepada jurulatih mengenai pemilihan pemain itu. Ini bukan tangan ghaib namun sekadar memberi pandangan kerana akhirnya jurulatih yang akan buat keputusan,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga kesal dengan aspek ‘pilih bulu’ dalam bola sepak negara kerana ia bakal memusnahkan sukan itu sendiri di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Contohnya, terdapat ibu bapa di peringkat akar umbi sibuk nak pastikan anak mereka bermain, kadang-kadang mereka lebih pandai daripada jurulatih dan mendesak beliau, ini semua tak boleh berlaku, kita kena telus dan tak boleh ada campur tangan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia 2022 akan mengguna pakai format dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut zon terdiri daripada zon Selatan, Barat, Utara, Timur dan Tengah (termasuk Sabah dan Sarawak) susulan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

Beliau berkata, sebanyak 20 pasukan, masing-masing akan menyertai kedua-dua kejohanan tersebut. - Bernama