Malaysia tempat ke-13 dalam Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei

Dr Kuljit Singh
Dr Kuljit Singh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedudukan Malaysia pada tempat ke-13 dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei selepas hampir dua tahun memerangi pandemik Covid-19 merupakan pengiktirafan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh berkata, kejayaan Malaysia memerangi pandemik itu adalah hasil penglibatan dan kerjasama antara penjagaan kesihatan awam, swasta dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Vaksinasi yang tersusun membantu negara kita. Bilangan kumpulan antivaksin juga tidak setinggi negara lain, malah kita berjaya mengubah mereka dan menerima vaksin akhirnya,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Selain itu, Dr Kuljit berkata, aplikasi MySejahtera yang mantap turut menyumbang secara signifikan kepada negara dalam menangani kes Covid-19 walaupun perjuangan itu belum diisytihar ‘menang’.

Berdasarkan Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei setakat 31 Disember 2021, Malaysia berada pada kedudukan ke-13 dengan 66.5 mata, manakala Bahrain tersenarai pada tempat teratas dengan 82 mata, diikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata).

Menurut laman webnya, Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menyenaraikan kira-kira 120 negara atau wilayah bagi pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.

Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks tersebut menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes Covid-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat; sumber data termasuk daripada Our World in Data, Google Covid-19 Community Mobility Reports, Oxford Covid-19 Government Response Tracker Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia.

Sementara itu, pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, usaha Kementerian Kesihatan (KKM) yang diketuai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggunakan strategi politik dan pengurusan wabak yang berkesan serta sokongan daripada semua agensi terlibat termasuk masyarakat, adalah penyebab sebenar kejayaan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan bahawa dalam kesihatan awam, usaha kolektif adalah paling penting dan kejayaan tidak boleh sekadar bergantung kepada pencapaian individu.

"Saya berpendapat ia merupakan pencapaian yang sangat baik menerusi komitmen semua pihak dalam memastikan pengendalian wabak Covid-19 yang optimum membolehkan negara berjaya melakukan pelan pemulihan sepertimana yang dirancangkan.

"Ini setanding dengan kebanyakan negara Asia yang lain. Komitmen ini perlu diteruskan bagi memastikan kejadian kes atau kluster dapat dibendung sekali gus membolehkan strategi pemulihan berkenaan tidak terhenti mahupun ditangguhkan," katanya.

Berkongsi sentimen sama, pakar epidemiologi dan kesihatan awam dari Universiti Malaya, Profesor Dr Sanjay Rampal berkata, Malaysia kini agak baik dengan kes harian yang dilaporkan secara relatifnya lebih rendah dan kadar insiden juga lebih rendah berbanding negara lain.

“Kita mempunyai kadar insiden asas yang lebih rendah sejak beberapa minggu lepas. Ini mungkin disebabkan variasi bermusim dan imuniti masyarakat masih tinggi berikutan program vaksinasi yang lepas,” katanya.

Dr Sanjay berkata, jumlah kes pada beberapa bulan akan datang mungkin terus rendah atau boleh juga meningkat disebabkan beberapa faktor seperti kewujudan strain Omicron sebagai strain utama yang lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta.

Bagaimanapun, beliau yakin perkhidmatan hospital tidak akan terbeban jika negara merancang perkhidmatan Covid-19 dengan proaktif dan bekerjasama untuk melibatkan seluruh masyarakat dalam memerangi Covid-19.

Dr Noor Hisham menerusi hantaran dalam Facebooknya semalam berkata, Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menunjukkan perbezaan antara Asia dengan Barat, dengan kebanyakan negara merekodkan peningkatan kes terutama disebabkan varian Omicron dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata, Malaysia kini menduduki tempat keenam dalam Indeks Covid-19 Global (GCI) yang dibangunkan dengan input daripada pelbagai badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). - Bernama