Dua beradik pengedar dadah diberkas

Noorzainy (dua,kiri) menunjukkan dadah yang disembunyikan di dalam speaker oleh dua beradik berkenaan.
Noorzainy (dua,kiri) menunjukkan dadah yang disembunyikan di dalam speaker oleh dua beradik berkenaan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Kehidupan mewah dua beradik akhirnya terbongkar apabila mereka diberkas polis dalam dua serbuan yang dilakukan di sekitar Butterworth di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) hasil risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah yang dilakukan dua beradik berkenaan sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas 2,100 gram dadah jenis heroin dan 4.53 gram dadah jenis syabu daripada mereka yang dipercayai bekalan untuk dipasarkan di sekitar Butterworth di sini.

"Serbuan pertama dilakukan di tepi jalan di Kampung Bagan Jermal kira-kira jam 11 malam dan menahan lelaki berusia 34 tahun bersama sejumlah dadah yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang kereta jenis Proton Waja yang dinaikinya.

"Hasil siasatan mendapati suspek sedang menunggu pelanggannya untuk mengedar dadah berkenaan," katanya pada sidang media di sini pagi tadi.

Susulan daripada tangkapan itu, membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Taman Melur di sini dan berjaya menahan adik suspek yang berusia 32 tahun bersama sejumlah lagi dadah yang disembunyikan di dalam kotak speaker di dalam rumah terbabit.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah itu daripada sindiket sebelum membungkusnya dalam kuantiti kecil dan menjual kepada pembeli dengan harga bermula RM150 sebungkus.

Katanya, semakan yang dibuat terhadap dua beradik berkenaan mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah selain ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati mereka positif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut merampas beberapa buah kenderaan daripada mereka antaranya Honda City, Perodua Viva dan Perodua Kancil.

"Turut dirampas wang tunai bernilai RM4,050 dan barang kemas bernialai RM14,992 yang dipercayai hasil daripada penjualan dadah," katanya.

Noorzainy berkata, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM84,700 dan boleh digunakan oleh 10,500 orang penagih dadah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.