Tebar 600 roti canai bantu rakan

Muhammad Hisammudin (kanan) bersama rakannya, Muhammad Zubair Faiz Zulkefly menyediakan roti canai untuk diedarkan kepada mahasiswa UMP pada Sabtu.
Muhammad Hisammudin (kanan) bersama rakannya, Muhammad Zubair Faiz Zulkefly menyediakan roti canai untuk diedarkan kepada mahasiswa UMP pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan 600 keping roti canai dan diedarkan secara percuma kepada mahasiswa universiti itu melalui 'Projek Dapur Kita Mahasiswa UMP Bantu Mahasiswa' pada Sabtu.

Inisiatif digerakkan 20 sukarelawan dari Skuad Yayasan UMP itu sebagai usaha membantu mengurangkan perbelanjaan harian mahasiswa dan sarapan sebelum memulakan sesi kuliah.

Pengurus projek, Muhammad Hisammudin Abdul Halim berkata, projek itu diurus sepenuhnya oleh sukarelawan terlibat bermula dengan mengumpul dana, penyediaan adunan, menebar roti canai serta mengagihkan kepada mahasiswa.

Menurutnya, peluang menyediakan roti canai itu satu pengalaman berharga untuk mereka.

"Kami tidak pernah membuat roti canai sebelum ini malah ada dalam kalangan sukarelawan hanya belajar menebarnya pagi ini (Sabtu) namun percubaan pertama ini berhasil.

"Ia satu pengalaman berharga buat kami semua," kata pelajar tahun dua Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik ini.

Muhammad Hisammudin berkata, projek itu adalah platform kepada orang ramai untuk sama-sama berkongsi membantu mahasiswa dan mereka yang memerlukan.

Sukarelawan Yayasan UMP menunjukkan roti canai yang disediakan untuk diedarkan kepada mahasiswa UMP secara percuma pada Sabtu lalu.
Sukarelawan Yayasan UMP menunjukkan roti canai yang disediakan untuk diedarkan kepada mahasiswa UMP secara percuma pada Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar berkata, sukarelawan Skuad Yayasan UMP sentiasa memberi sokongan dalam semua program anjuran yayasan itu.

Katanya, program itu hasil idea daripada mahasiswa sendiri yang cakna terhadap kebajikan mahasiswa yang memerlukan.

"Pelbagai program telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Jamil berkata, penganjuran Tok Gajah Virtual Challenge 2021 mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya mengumpul kutipan keseluruhan sebanyak RM85,029.

Menurutnya, program itu salah satu usaha Yayasan UMP mengumpul dana bagi setiap tabung dan endowmen UMP dalam membantu pelajar dan golongan yang memerlukan.

"Tahun ini Yayasan UMP bakal menganjurkan Rusa Virtual Run 2022 dan Jerung Virtual Run 2022 sebagai salah satu aktiviti dalam mengumpulkan dana di samping memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus dan masyarakat setempat," katanya.