TFC sedia skuad lengkap hadapi Liga Malaysia

TFC
TFC
A
A
A

TERENGGANU Football Club (TFC) sudah melengkapkan senarai pemainnya untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas yang menjangkakan tentangan lebih sengit musim ini apabila semua pasukan Liga M membuat persiapan lebih rapi dari semua aspek termasuk pemilihan pemain dan taktikal.

"Semua tonggak import dan barisan pemain tempatan skuad Penyu sudah sedia untuk beraksi pada Liga M yang dijangka bermula pertengahan bulan depan.

"Musim ini kita tidak melakukan banyak pertukaran dari segi pemain tempatan, hanya Muhammad Adib Zainuddin muka baharu yang dibawa masuk bagi menguatkan kubu pertahanan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Bagaimanapun menurut Mohd Sobri, rombakan besar-besaran dilakukan terhadap 'awang' import bagi memberi impak lebih besar terutama pada bahagian serangan skuad Penyu yang dilihat kurang menjadi musim lepas.

"Kita harap percaturan TFC mengambil Kpah Sherman dan memasukkan kembali Kipre Tchetche ke dalam skuad TFC musim ini akan membantu mencapai misi memburu kejuaraan yang telah lama diidamkan," katanya.

Selain Sherman dan Tchetche, TFC yang dibimbing oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain turut membariskan pemain import baharu dari Senegal, Pape Diakite, Luke Woodland dan Manuel Ott yang berdarah kacukan Jerman-Filipina.

Import lain yang dikekalkan ialah Jordan Mintah dari Ghana, Habib Haroon (Bahrain) dan Argzim Redzovic (Motenegro) yang sudah tiga musim bersama skuad Penyu. - Bernama

Artikel Berkaitan: