Sijil vaksin palsu: Kerajaan Terengganu pantau, ambil tindakan penjawat awam

Anggota Polis menunjukkan sijil suntikan vaksinasi Covid-19 palsu yang dikeluarkan oleh sebuah klinik swasta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, pada Isnin. - Foto Bernama
Anggota Polis menunjukkan sijil suntikan vaksinasi Covid-19 palsu yang dikeluarkan oleh sebuah klinik swasta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan negeri Terengganu akan memantau dan mengambil tindakan sekiranya terdapat penjawat awam negeri yang didapati memiliki sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihaknya memandang serius isu berkaitan sijil vaksinasi palsu ini memandangkan ia melibatkan keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Kita akan arahkan jabatan-jabatan kerajaan untuk memantau golongan yang terutamanya antivaksin satu hal, yang keduanya dia beli pula sijil vaksin palsu. Ini satu kesalahan yang serius dan perkara ini akan dipantau oleh jabatan-jabatan berkenaan, untuk pastikan perkara ini (pembelian sijil vaksin palsu) tidak berulang,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang doktor sebuah klinik swasta oleh pihak polis Terengganu di Marang pada Sabtu lalu selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Dr Alias berkata, kerajaan negeri juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau dan mengenal pasti sekiranya terdapat lagi pengamal perubatan di negeri ini yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Sebelum itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dalam sidang akhbar memberitahu doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik tersebut bagi tujuan vaksinasi dan daripada jumlah itu pihak polis masih menyiasat jumlah sebenar individu yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapatkan sijil vaksinasi palsu. - Bernama

Artikel Berkaitan: