SPRM perlu distruktur semula, asingkan kuasa: Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu distruktur semula dan meletakkannya di bawah badan bebas seperti Parlimen atau yang setaraf dengannya.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, badan itu boleh dijadikan cabang baharu dalam pengasingan kuasa Perlembagaan negara seperti eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Beliau berkata, penstrukturan semula itu penting bagi mengembalikan integriti dan kepercayaan orang ramai terhadap SPRM.

“Sudah tiba masanya organisasi itu distruktur semula secara drastik. SPRM harus dikawal selia bawah satu badan yang bebas, bukan lagi bawah kuasa politik.

“Perlu cari satu mekanisme asingkan badan itu, dengan mengambil konsep pengasingan kuasa seperti tiga badan utama pemerintahan iaitu pentadbiran, perundangan dan kehakiman,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pembangkang juga bersedia memperhalusi perkara itu secara bersama demi kepentingan negara.

“Saya tak nak sebut perlu meletakkan SPRM bawah Parlimen atau badan lain, atau bawa ke cabang mana. Yang penting perlu cari mekanisme ke arah itu.

“Sekarang politik terbuka, kita (pembangkang) boleh berbincang dengan kerajaan apa mekanisme sesuai untuk memastikan ia benar-benar bebas daripada pengaruh kuasa politik,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sekali lagi menyebabkan nama negara tercemar di persada dunia selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kesannya, ia akan membawa kepada mempercepatkan proses Malaysia sebagai sebuah negara gagal.

"Ini kerana, kerajaan seolah-olah tidak mempedulikan isu berkaitan integriti dan rasuah. Kita harus selamatkan negara daripada terus menjadi sebuah negara yang gagal,” katanya.

Mahfuz berharap isu terbabit dapat segera diselesaikan berikutan ia kelak menggambarkan keadaan negara yang tidak stabil sama ada dari aspek politik mahupun ekonomi.

“Kalau dibiarkan berterusan, pelabur akan mula meninggalkan Malaysia.

"Sekarang Hyundai dan beberapa syarikat besar pun sudah mula keluar dari negara ini. Kelak kita akan berdepan dengan masalah ramai kehilangan kerja,” kata beliau.