Sindiket pinjaman wang, ugut mangsa tumpas

Mior Faridalathrash pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
Mior Faridalathrash pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kegiatan sindiket pinjaman wang tanpa lesen di Perak yang turut melakukan ugutan jenayah kepada mangsa berjaya ditumpaskan polis dengan penahanan tiga warga tempatan, pada 3 Januari lalu.

Ketiga-tiga mereka termasuk seorang wanita berusia antara 22 dan 30 tahun itu ditahan dalam Operasi Vulture hasil risikan selama tiga minggu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Pangsapuri Desa Aman Puri, Kuala Lumpur kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sindiket yang aktif sejak dua tahun lalu itu menjadikan pangsapuri berkenaan sebagai pusat panggilan bagi kes pinjaman wang tanpa lesen secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai nama syarikat.

Menurutnya, sindiket itu akan mengenakan faedah pinjaman antara 25 hingga 30 peratus dalam tempoh 10 hari dari tarikh pinjaman dan membuat ugutan jenayah kepada peminjam, ahli keluarga serta kenalan peminjam yang gagal membuat bayaran balik seperti ditetapkan.

"Modus operandi digunakan sindiket adalah dengan membangunkan sebuah aplikasi peminjam wang di ‘Play Store’ dan ‘Apps Store’.

Rampasan barang kes hasil penahanan tiga warga tempatan dalam Operasi Vulture di Pangsapuri Desa Aman Puri, Kuala Lumpur, 3 Januari lalu.
Rampasan barang kes hasil penahanan tiga warga tempatan dalam Operasi Vulture di Pangsapuri Desa Aman Puri, Kuala Lumpur, 3 Januari lalu.

"Sesiapa yang ingin membuat pinjaman harus memberikan butir-butir peribadi seperti nombor kad pengenalan, termasuk memuat naik ‘video aku janji’ dalam aplikasi berkenaan. Bagaimanapun aplikasi berkenaan dipercayai sudah tiada.

"Kami percaya ini adalah modus operandi terbaharu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak di Sungai Senam, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam tangkapan itu, polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenis, dua unit komputer, seunit komputer riba, dua unit modem dan lima keping simkad telefon.

Katanya, kesemua mereka direman tujuh hari bermula tarikh tangkapan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

"Kami percaya bahawa mereka ini adalah pekerja dan polis sedang menyiasat dalang di sebalik kegiatan tersebut. Hal ini kerana kami juga percaya sindiket ini bergerak di seluruh negara.

"Polis akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya.