Isu Azam Baki: AMK serah memorandum desak siasatan lebih teliti

Akmal Nasrullah (tengah) sebelum memulakan konvoi dari Dataran Putra, Putrajaya ke ibu pejabat SPRM pada Isnin.
Akmal Nasrullah (tengah) sebelum memulakan konvoi dari Dataran Putra, Putrajaya ke ibu pejabat SPRM pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Angkatan Muda Keadilan(AMK) menyerahkan memorandum bagi mendesak supaya siasatan lebih teliti dilakukan oleh badan bebas terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penyerahan memorandum tersebut disampaikan kepada pegawai SPRM secara konvoi bagi mewakili pandangan rakyat khususnya golongan muda bagi mempertahankan integriti.

Beliau berkata, konvoi protes berkenaan dilakukan secara aman tanpa perlu berkumpul serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Semalam (Ahad), beberapa pegawai kanan SPRM ada mengeluarkan kenyataan mewakili pihaknya dan mengatakan itu adalah memorandum daripada SPRM.

"Cuma pada hari ini, AMK mahu menyatakan bahawa kita juga akan menghantar memorandum dengan hanya 13 perkataan. Sebab itu perlu ada konvoi untuk mereka menghantar memorandum secara ilustrasi supaya pihak SPRM nampak (bahawa) ini mewakili pandangan rakyat Malaysia serta anak muda yang ingin mempertahankan integriti," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum memulakan konvoi protes di Dataran Putra di sini pada Isnin.

Pada Rabu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah jutaan ringgit.

Menurut Abu Zahar, Azam menjelaskan pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adiknya iaitu Nasir Baki.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Khamis berkata, mereka akan berhubung dengan Azam dan pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kontroversi pemilikan saham tersebut.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah menyifatkan keadaan tersebut sebagai krisis darurat integriti bukan hanya melibatkan soal Azam, malah beberapa kes yang pernah menjadi pertikaian sebelum ini.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri seharusnya memberi komitmen dengan memindahkan kuasa menasihatkan atau pelantikan jawatan Ketua Pesuruhjaya itu daripada kuasa tangan Perdana Menteri kepada kuasa Parlimen.

"Kalau kita teliti dari segi Akta SPRM 5(3) menyebut bahawa kedudukan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu boleh dipertahankan atau kekal sehingga keputusan tukar dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri.

"Jangan lupa Ketua Pesuruhjaya SPRM yang ada pada hari ini adalah di bawah pelantikan Perdana Menteri, bukannya lantikan atau nasihat daripada Parlimen," ujarnya.

Tambah beliau, meskipun ada permintaan daripada ahli-ahli Parlimen supaya mengadakan mesyuarat khas pada persidangan Parlimen, namun Ismail Sabri enggan campur tangan mengenai isu tersebut.

"Kita tahu, di bawah peraturan mesyuarat Parlimen perkara 13(1) menyebut bahawa Perdana Menteri selaku ketua majlis boleh memanggil Parlimen pada bila-bila masa. Ia sebagaimana beliau memanggil Parlimen untuk bincang isu banjir yang telah lewat sebulan.

"Sebenarnya Perdana Menteri ada kuasa untuk mengarahkan Parlimen supaya bersidang serta-merta untuk membincangkan isu integriti SPRM," ujarnya.

Sementara itu, konvoi protes yang bergerak dari Dataran Putra ke Ibu Pejabat SPRM itu disertai kira-kira 50 buah kenderaan.

Turut serta ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Naib Ketua AMK, Thiban Subramaniam dan Setiausaha Agung AMK, Syukri Razab.