Kuil Sri Maha Mariamman: One City fail taksiran ganti rugi

A
A

SHAH ALAM - Selepas gagal mendapat injuksi daripada Mahkamah Tinggi bagi menghalang One City Development Sdn Bhd (One City) memasuki dan merobohkan Kuil Sri Maha Mariamman, 50 penganut Hindu berdepan dengan tuntutan bayaran ganti rugi selepas syarikat itu memfailkan taksiran ganti rugi.

One City memfailkan permohonan itu di Pejabat Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi firma guaman Tetuan Skrine pada, Selasa lalu.

Dalam notis permohonannya, syarikat itu menuntut taksiran ganti rugi menurut Perintah Mahkamah pada 13 Februari lalu.

Tetuan Skrine berkata, mahkamah memberi ruang kepada kedua- dua pihak untuk mencapai penyelesaian di luar mahkamah.

"Kes ditetapkan pada 23 April depan sebagai pengurusan kes yang mana kedua-dua pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai status sama ada mencapai persetujuan di luar mahkamah ataupun tidak," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan halang pemaju masuk tapak kuil

Turut hadir peguam yang mewakili 50 penganut berkenaan, Dinesh Kunasekar.

Pada 13 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wong Kian Kheong menolak permohonan injuksi interlocutori yang difailkan oleh 50 penganut Hindu tersebut dengan kos selepas mendapati bahawa plaintif tidak mempunyai justifikasi yang wajar terhadap pemaju.

Mahkamah juga menolak permohonan injunksi 50 plaintif itu untuk mendapatkan perintah penangguhan terhadap writ pemilikan oleh One City.

Selain itu, penganut Hindu tersebut didapati tidak mempunyai locus standi di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966 untuk memulakan tindakan saman.

Kian Kheong juga memerintahkan plaintif agar membayar ganti rugi dan faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap jumlah ganti rugi kepada One City berhubung kesemua kerugian yang dialami oleh syarikat itu ekoran daripada akujanji.

Pada 19 November lalu, 50 penganut Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman memfailkan permohonan injunksi interlokutori terhadap tujuh plaintif, iaitu pengerusi jawatankuasa kuil itu, K Chellappa, Sime UEP Properties, Pengarah Perancang Bandar dan Desa Selangor, Kerajaan Selangor, One City Development, bekas pemegang amanah, N Merganathan, dan bekas pengerusi jawatankuasa sementara kuil itu, M Nagaraju dengan menamakan sebagai defendan pertama hingga ke tujuh.

Dalam permohonan itu, mereka memohon untuk menghalang One City daripada mendekati kuil itu dengan tujuan merobohkannya sehingga permohonan itu selesai, satu perintah penangguhan pelaksanaan writ pemilikan bertarikh 14 November 2017 yang diperoleh defendan kelima, dan satu pengisytiharan bahawa penghakiman bersama bertarikh 11 Mac 2014 tidak sah dan diketepikan.

Isu pemindahan kuil tersebut telah mencetuskan rusuhan pada 26 November lalu yang menyaksikan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhamad Adib Mohd Kassim cedera parah selain 23 kenderaan dibakar dan sebahagian bangunan One City Mall mengalami kerosakan.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhirnya jam 9.41 malam pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara, selepas hampir tiga minggu dirawat.