Pengarah urusan, jurutera syarikat direman 6 hari

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengarah urusan dan jurutera sebuah syarikat direman enam hari hingga 15 Januari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu melibatkan nilai kira-kira RM250,000.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Nurmadiana Mamat di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 52 dan 41 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor di sini jam 7 petang pada Ahad selepas hadir memberikan keterangan.

Kedua-dua mereka didakwa terlibat mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM250,000 bagi projek pembinaan jambatan sementara di Segamat.

“Difahamkan, pada 2016 hingga 2020, kedua-dua suspek telah bersubahat dalam mengemuka dan memperakukan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan di Segamat.

“Ini adalah melibatkan tuntutan berkaitan projek pembinaan jambatan sementara di daerah berkenaan yang dipercayai bernilai lebih RM4 juta, sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, ketika dihubungi, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: