Tilam terbakar, warga emas melecur di tangan

Seorang anggota bomba memeriksa keadaan di lokasi kejadian di sebuah bilik rumah di Flat Sri Saujana, Gat Lebuh Macallum.
Seorang anggota bomba memeriksa keadaan di lokasi kejadian di sebuah bilik rumah di Flat Sri Saujana, Gat Lebuh Macallum.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki warga emas melecur di bahagian tangan kirinya setelah tilam yang menjadi tempat tidurnya terbakar pada malam Ahad.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, PBK II Mohamad Yahaya Murad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan punca kebakaran pada tilam berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang berusia 70 tahun mengalami 30 peratus melecur pada tangan kirinya.

"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 11.55 malam tadi (Ahad) mengenai kebakaran di sebuah bilik di Flat Sri Saujana, Gat Lebuh Macallum.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati sebuah tilam terbakar dalam salah sebuah bilik di kediaman yang mempunyai tiga bilik itu.

"Ada seorang mangsa iaitu lelaki warga emas yang cedera di tangan kirinya. Kita memberi rawatan awal sebelum mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Katanya, pemeriksaan mendapati tilam tersebut terbakar sebanyak 10 peratus.

"Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. Kita turut mendapatkan bantuan daripada BBP Jalan Perak.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ditamatkan selepas api dipadamkan sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian," katanya.