Apabila pak belang mula makan orang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan jarang benar mendengar kisah haiwan buas menyerang dan membaham manusia di negara kita. Cuma sekali-sekala ada kejadian buaya menyambar penduduk kampung di sungai-sungai di Sarawak.

Negara kita juga pernah gempar dengan tragedi seorang lelaki ditelan ular sawa pada tahun 1995 di Segamat, Johor. Dalam kejadian itu, ular sawa sepanjang 6.3 meter itu sudah berjaya menelan kepala mangsa, E Heng Chuan, 29.

Tapi cerita harimau makan orang sungguh luar biasa. Nak dijadikan cerita, seorang lelaki orang asli maut selepas diserang seekor harimau belang jantan di belakang rumahnya di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan beberapa hari lalu.

Malah mangsa, Anek Along, 59, dikatakan sempat diheret haiwan liar itu ke dalam hutan sebelum mayatnya ditemui pasukan Perhilitan.

Pihak Perhilitan terpaksa menembak seekor harimau belang itu yang merupakan spesies terancam dan sedang memburu dua ekor lagi.

Merak Jalanan percaya kekurangan makanan di dalam hutan adalah antara punca harimau mula masuk kampung dan membaham manusia.

Apatah lagi sebelum kematian tragis Anek Along, seorang penduduk, Adin Andok, 45, parah di kepala, perut, mata kiri, bahu dan lengan kiri akibat diserang harimau di kebunnya di kampung sama Julai tahun lalu.

Sebenarnya, harimau jarang makan manusia. Kebanyakan harimau pemakan manusia yang dilaporkan adalah lanjut usia dan telah hilang gigi. Mereka beralih kepada daging manusia kerana tidak mampu memburu haiwan liar lain.

Namun begitu, harimau sihat yang memburu manusia pernah menjadi satu masalah di kawasan tertentu di India dan Bangladesh berikutan kemusnahan habitat akibat pertanian dan pembalakan.

Merak Jalanan yakin kejadian di Pos Bihai itu bukanlah masalah utama. Masalah sebenar yang harus diselesaikan ialah apa punca yang menyebabkan pak belang mula makan orang di Malaysia.

Artikel Berkaitan: