Besarkan lagi kelompok pemain Harimau Muda

Richard Scully
Richard Scully
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Brad Maloney disaran menyenaraikan pemain B-19 negara dalam usaha memperbesarkan lagi kelompok pemain muda sebagai persediaan menghadapi empat kejohanan besar pada tahun ini.

Cadangan tersebut diutarakan, Pendidik, Jurulatih dan Pencari Bakat Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Datuk Richard Scully yang melihat kelompok pemain yang besar dapat membantu pasukan muda negara melakukan penggiliran bagi memastikan pemain sentiasa cergas dan tidak burn out terlalu awal.

Jelasnya lagi, dengan menyenaraikan pemain B-19 ia juga mampu membantu perkembangan kerana diberikan pendedahan awal dalam kejohanan-kejohanan besar yang akan membantu dalam perkembangan prestasi dan karier mereka.

“Saya rasa skuad Maloney perlukan kelompok pemain yang besar kerana mereka akan menyertai empat kejohanan dalam satu tahun dan ia sudah tentu bukan satu tugas yang mudah buat pemain B-23.

“Apabila kita ada kelompok pemain yang besar secara tidak langsung kita dapat melakukan penggiliran pemain dengan tidak menidakkan sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Jadi saya rasa mungkin yang boleh dilakukan Maloney untuk memperbesarkan lagi kelompok pemain sedia adalah dengan menyerapkan beberapa pemain B-19 ke pasukan B-23 negara.

“Ia juga secara tidak langsung umpama misi serampang dua mata yang mana B-19 akan dapat banyak pendedahan selain kita akan ada sentiasa pemain back up sekiranya pemain utama itu tidak dapat beraksi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Terdahulu Sukan Sinar melaporkan legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menasihati agar skuad B-23 tahun negara perlu bijak memilih sasaran utama kejuaraan yang mahu diraih berikutan kepadatan jadual pertandingan pada 2022 supaya tidak berputih mata di penghujung tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Scully berkata, beliau turut menyarankan agar Maloney melakukan kerja rumah yang lebih banyak iaitu turun pandang berjumpa dengan pengendali skuad Belia dan Presiden.

Jelasnya, Maloney perlu memberitahu kepada jurulatih apa yang perlu diterapkan kepada pemain supaya apabila dipanggil kelak kesemua mereka ini dapat bersedia sekali gus akan membantu meningkat prestasi pasukan.

“Saya rasa Maloney perlu lebih kerap turun padang jumpa dengan jurulatih-jurulatih skuad Belia dan Presiden bagi tahu kepada mereka falsafah bola sepak yang dimahukan supaya senang untuk mereka terapkan pada pasukan.

“Malah tugasannya juga akan lebih mudah kerana nanti bila pemain ini dipanggil mereka semua sudah bersedia dengan cara permainan Maloney,” katanya.