Mungkinkah rokok alternatif penyelesaian terbaik?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MANILA - FILIPINA. “Rokok”, satu perkataan mudah namun kertas gulung yang mengandungi bahan utamanya tembakau ini mencetuskan rentetan isu yang seolah-olah tiada kesudahan.

Mutakhir, produk yang sudah lama berakar umbi di negara ini sekali lagi menjadi polemik dengan perdebatan hangat masyarakat khususnya dalam kalangan perokok tegar mahupun golongan perokok pasif.

Bermula dengan pengumuman kerajaan untuk menaikkan harga jualan runcit rokok dan kemudiannya larangan merokok di semua premis makanan berkuatkuasa pada 1 Januari 2019, kemelut produk asap yang mendedahkan orang ramai kepada risiko kesihatan ini berterusan.

Bagi komuniti perokok pasif, usaha kerajaan itu yang dilihat cukup serius membanteras tabiat tidak sihat dalam masyarakat ini diraikan dengan penuh gembira setelah sekian lama cukup bersabar dengan kerenah sesetengah perokok yang sengaja tidak menghormati masyarakat sekeliling.

Biarpun demikian, perokok tegar melihat pengumuman itu sebagai satu tindakan berat sebelah. Mereka melabelkan hak perokok sering kali didiskriminasikan, dianggap sebagai masyarakat kelas ketiga di negara ini sedangkan banyak lagi pencemaran lain seperti asap kenderaan yang berisiko kepada kesihatan sejagat.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 menunjukkan 22.8 peratus yang bersamaan lima juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok, dengan majoritinya adalah lelaki iaitu 43 peratus.

Isu global

Hakikatnya, Malaysia bukanlah bersendirian dalam isu rokok kerana ia turut menjadi polemik di seluruh dunia khususnya di rantau Asia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan jumlah perokok di seluruh dunia melebihi 1 bilion menjelang 2025!

Perkara ini menjadi tumpuan dan topik utama yang dibincangkan dalam Forum Pengurangan Kemudaratan Asia 2018 atau Asia Harm Reduction Forum (AHRF) yang berlangsung di Makati, Manila, Filipina baru -baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Merokok adalah masalah global dan perokok sukar berhenti daripada tabiat itu. Di sebalik peraturan ketat kerajaan, cukai yang tinggi serta kempen kesedaran awam yang meluas, menyekat ketagihan merokok masih cabaran besar di seluruh dunia,” demikian antara perkara yang dibangkitkan oleh para pemikir dan pakar daripada pelbagai bidang meliputi teknologi, kesihatan, pembuat dasar, akademik serta pengguna dari pelbagai negara.

Forum kali kedua yang diadakan ini dihadiri seramai 200 peserta adalah anjuran Yayasan Pemerhati Kesehatan Publik Indonesia (YPKP) dan Harm Reduction Alliance of the Philippines (HARAP).

Forum ini membincangkan isu pengurangan bahaya tembakau serta matlamat untuk mendidik masyarakat mengenai pengurangan bahaya ini menerusi produk alternatif yang lebih baik. Ia juga mahu mengetengahkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan dan dapat menyumbang kepada peningkatan kesihatan awam.

Matlamatnya adalah integrasi pengurangan bahaya sebagai strategi oleh penggubal undang-undang serta orang awam. Apa yang diharapkan ialah usaha ini dapat menjamin peningkatan persekitaran yang lebih sihat.

Kerugian

Pensyarah dan penyelidik di Jabatan Periodontology, Universitas Padjadjaran, Bandung, Indonesia, Dr Drg. Amaliya berkata rokok merupakan masalah kesihatan awam utama khususnya di negara berpendapatan rendah termasuk Indonesia.

“Isu merokok ini sangat membimbangkan kerana Asia memiliki angka perokok tertinggi dan di Indonesia sahaja memiliki 50 juta perokok. Kita boleh cakapkan ini sebagai suatu situasi darurat kerana begitu banyak jumlah perokok di Indonesia,” katanya kepada Bernama.

Manakala negara China paling terbesar jumlah perokok dan pengguna tembakau iaitu kira-kira 307 juta diikuti India seramai 106 juta dan Filipina, 16 juta.

Kebimbangan ini mempunyai asas kerana tabiat merokok bukan sahaja membuatkan individu ketagih tetapi boleh membawa maut.

Penyakit berkaitan merokok adalah pembunuh utama dunia termasuk Malaysia sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara dalam pelbagai aspek. Antaranya, kos yang tinggi bagi merawat penyakit akibat merokok, menjejaskan produktiviti akibat pekerja sering tidak sihat dan menyebabkan kerugian kepada negara akibat kematian pramatang.

WHO menganggarkan lebih 20,000 lelaki dewasa di negara ini mati setiap tahun akibat daripada komplikasi merokok. Manakala, kerajaan pula dijangka menanggung kos rawatan penyakit utama akibat merokok seperti kanser paru-paru dan masalah jantung koronari berjumlah RM7.4 bilion menjelang 2025.

Jumlah itu berdasarkan unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan pada 2017, sekiranya kawalan tembakau di Malaysia tidak diperkukuhkan dan bilangan perokok tidak berkurangan.

Sepertimana Malaysia yang terpaksa menanggung beban ekonomi akibat rokok, dunia juga tidak terkecuali apabila WHO menganggarkan kos perbelanjaan penjagaan kesihatan dan kerugian produktiviti global akibat penyakit berkaitan merokok adalah Dolar Amerika Syarikat 1 trilion setahun.

Rokok alternatif

Atas sebab itu, forum tersebut membawa mesej utama bahawa permasalahan ini mampu ditangani menerusi pendekatan pengurangan kemudaratan tembakau iaitu dengan memberi akses kepada rokok alternatif atau produk nikotin alternatif.

Langkah pengurangan bahaya tembakau sebelum ini bertumpu kepada usaha mengurangkan atau menghapuskan penggunaan rokok yang perlu dibakar hujungnya dengan bertukar kepada produk alternatif seperti ‘vape’ dan rokok elektronik (e-rokok). Di samping itu, produk lain yang disebut adalah bahan tembakau tidak berasap seperti produk tembakau yang dipanaskan dan ‘Swedish Snus.’

“Pendekatan berhenti atau mati di Indonesia tidak berkesan untuk sesetengah perokok di Indonesia. Oleh itu, sudah sampai masanya untuk menimbangkan pendekatan berhenti atau cuba iaitu cuba produk alternatif nikotin.

“Produk ini memberikan pilihan yang boleh memuaskan hati serta pilihan kurang berbahaya untuk perokok bagi mendapatkan keperluan nikotin mereka tanpa kandungan tar yang berbahaya, “ kata Dr Drg. Amaliya yang juga pengasas bersama YPKP dalam ucapan alu-aluannya.

Menurut beliau lagi perokok merokok untuk nikotin tetapi mereka menemui ajal kerana kandungan tar di dalam rokok. Tar terhasil daripada pembakaran rokok sementara nikotin pula dikatakan kurang berbahaya meskipun ia menyebabkan ketagihan.

Kebanyakan pakar yang menghadiri AHRF kedua ini bersependapat punca utama penyakit yang berkait dengan merokok seperti kanser paru-paru, penyakit kardiovaskular serta ‘emphysema’ adalah menyedut sebatian berbahaya yang terhasil apabila tembakau dibakar.

Bagaimanapun, banyak negara Asia masih berasa ragu-ragu tentang alternatif pengurangan bahaya tembakau, malahan ada yang mengharamkan e-rokok seperti Singapura dan Thailand sementara beberapa negeri di India sedang menimbangkan langkah yang sama.

“Kita perlu terus aktif memaklumkan kepada pembuat dasar tentang langkah pengurangan bahaya tembakau serta potensi manfaat produk alternatif kepada kesihatan awam,” katanya.

Kurang berbahaya

Bekas Pakar Sains Bioperubatan, Universiti Malaya, Professor Tikki Pangestu dalam pembentangannya ‘Evidence-informed Public Health Policies for Harm Reduction’ berkata e-rokok telah berkembang dan menjadi lebih berkesan dan selamat berdasarkan tiga laporan utama.

Laporan berkenaan yang dihasilkan oleh pertubuhan yang amat dihormati dan boleh dipercayai dan tidak berkait dengan industri tembakau adalah ‘Evidence Review of E-Cigarettes and Heated Tobacco Products 2018’ (dibuat bagi pihak Public Health England); ‘Public Health Consequences of E-Cigarettes’ (laporan oleh National Academics of Sciences, Engineering and Medicine di Amerika Syarikat); dan ‘E -Cigarettes’ oleh House of Commons Science and Technology Committee di United Kingdom.

“Laporan itu menyebut e-rokok dan vape sekurang-kurangnya 95 peratus kurang berbahaya berbanding merokok kepada perokok individu, keluarga terdekat dan orang sekeliling.

“Bertukar sepenuhnya dari merokok kepada vape ada juga manfaat kesihatan,” kata Pangestu yang juga Profesor Pelawat Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore.

Berdasarkan bukti, beliau berkata perokok mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat dan mengharamkan e-rokok menafikan hak mereka. Nyawa mereka mungkin boleh diselamatkan atau kesihatan mereka boleh ditingkatkan jika produk itu tidak diharamkan dan jika ia diharamkan, langkah sedemikian boleh dianggap melanggar hak asasi manusia .

“Apabila anda memajukan peranti baru, peranti perubatan, atau pun vaksin baharu, tidak adil jika berharap produk itu 100 peratus selamat dan berkesan. Perkara ini tak wujud.

“Tetapi sekiranya ada bukti ia mempunyai sedikit manfaat, mengapa tidak?” katanya.

Ahli terapi Penyalahgunaan Bahan, Andrew John Da Roza sewaktu pembentangannya berkata negara yang membenarkan e-rokok mencapai pengurangan jumlah perokok berbanding yang mengharamkannya seperti Singapura dan Australia.

“Jepun mencatat pengurangan 27 peratus dalam jumlah rokok yang dijual pada suku keempat 2017 berbanding setahun lalu kerana langkah pengurangan bahan berbahaya.

“Di UK, kira-kira 20,000 orang berhenti merokok setahun kerana e-rokok, " katanya.

Berdasarkan perkembangan sains yang terkini dalam pengurangan bahaya tembakau daripada pengamal kesihatan terkemuka serta ahli akademik yang dibentangkan pada AHRF 2018, pakar menggesa kerajaan di Asia mendokong dasar kesihatan awam bagi mengurangkan penyakit dan kematian akibat merokok. - Bernama