'Adakah pemeriksaan menyeluruh dibuat sebelum Azam ketuai SPRM'

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said membangkitkan soalan sama ada pemeriksaan menyeluruh sudah dibuat terhadap Tan Sri Azam Baki sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Perdana Menteri ketika itu sewajarnya memastikan pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh terlebih dahulu sebelum melantik Azam ke jawatan berkenaan pada Mac 2020.

Azalina yang juga Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) turut mempersoalkan sama ada isu pemilikan saham membabitkan Azam ada diketengahkan pada ketika itu.

“Adakah perkara melibatkan Tan Sri Azam Baki dibawa ke perhatian (atau dibangkitkan sebagai isu) oleh Jawatankuasa Aduan SPRM di bawah Seksyen 15 Akta SPRM 2009 sebelum atau semasa pelantikannya?

“Akhir sekali, kalau boleh saya mencadangkan supaya SPRM menjadi suruhanjaya di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Ahad.

Pada masa sama, Azalina mempersoalkan keperluan untuk menubuhkan lebih banyak jawatankuasa bebas atau badan pengawasan dalam SPRM.

Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 14 Akta SPRM 2009, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 Julai tahun lalu dan dianggotai tiga Senator, dua ahli Parlimen serta dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara.

“Secara prosedurnya, Jawatankuasa Khas ini menjalankan pengawasan terhadap Badan Penasihat SPRM yang berada di bawah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di bawah Seksyen 13 akta yang sama dan jelas. Terdapat dua badan pengawasan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

“Seksyen 15 akta itu juga membenarkan Jawatankuasa Aduan untuk memantau kelakuan pegawai SPRM,” jelas beliau.

Pada Rabu lalu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang akhbar menjelaskan bahawa beliau berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan memiliki saham dengan nilai jutaan ringgit.

Menurut Abu Zahar, hasil penjelasan Azam, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik Nasir Baki iaitu adik kepada Azam.

Katanya, LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau 'conflict of interest' dalam perkara tersebut.

Azam pula mengulangi pendirian bahawa beliau tidak bersalah berhubung kontroversi pemilikan saham berkenaan dan bersedia untuk disoal siasat oleh pihak berkuasa.

Malah, beliau turut bersedia untuk menghadap Jawatankuasa Aduan SPRM sekiranya dipanggil untuk disoal siasat.