Kemelut PAFA: PJS perlu segera beri maklum balas

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Mohd Azhar mendesak PJS segera memberikan maklum balas berkaitan kemelut yang melanda PAFA. Gambar kanan: Mohd Azhar
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Mohd Azhar mendesak PJS segera memberikan maklum balas berkaitan kemelut yang melanda PAFA. Gambar kanan: Mohd Azhar
A
A
A

IPOH - Pesuruhjaya Sukan (PJS) digesa segera memberikan maklum balas terhadap notis aduan rasmi yang dihantar oleh ahli-ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pada 9 Disember 2021 bagi menyelesaikan kemelut yang melanda badan induk bola sepak negeri itu.

Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pada 27 Disember 2021 pula, pihaknya telah menghantar Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) ke Pejabat PJS yang memuatkan laporan lengkap keputusan Kongres Luar Biasa PAFA anjuran Ahli-Ahli Gabungan PAFA yang telah diadakan pada 19hb Disember lalu berserta satu surat permohonan Perintah Larangan kepada PAFA.

Menurutnya, permohonan Perintah Larangan terhadap PAFA telah dikemukakan kepada PJS bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang diberi kebenaran membuat sebarang keputusan atau tindakan berkenaan PAFA sehinggalah proses siasatan selesai dan keputusan PJS mengenai pihak yang sah untuk menerajui PAFA diterima.

"Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan mengikut lunas-lunas Perlembagaan dan ketetapan PJS, sehingga kini kami masih belum menerima sebarang keputusan atau maklumbalas. Keadaan itu sekali gus menyaksikan pengurusan semasa PAFA yang menggunakan jawatan Pemangku Presiden dan Pemangku Setiausaha Kehormat PAFA dilihat telah membuat pelbagai bentuk tindakan dan keputusan dari masa ke semasa yang dikhuatiri akan meninggalkan impak atau kesan yang buruk kepada PAFA.

"Kami juga khuatir sekiranya kelewatan maklum balas ini adalah disebabkan oleh wujudnya tekanan daripada pihak-pihak tertentu, namun kami yakin bahawa pihak PJS adalah sebuah badan kerajaan yang mempunyai tahap kredibiliti serta integriti yang amat tinggi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azhar berkata, tindakan 14 daripada 18 buah Ahli Gabungan PAFA yang jelas mematuhi Perlembagaan PAFA mengadakan Kongres Luar Biasa PAFA bertujuan mengelak risiko-risiko salah guna kuasa dan sebagainya termasuk untuk mengelakkan campur tangan orang yang berkepentingan.

Jelas beliau, pihaknya tidak mahu keadaan yang berlaku ketika ini akan meletakkan PAFA dalam keadaan yang lebih berisiko sehingga mengakibatkan PAFA dikenakan tindakan lebih drastik seperti penggantungan atau pembatalan pertubuhan

"Desakan bagi mendapatkan maklum balas segera daripada pihak PJS ini adalah disebabkan oleh rasa kasih dan sayang kami yang amat menebal kepada PAFA dan sukan bola sepak Perak khasnya. Kami tidak mahu isu-isu yang berlaku ketika ini akan menjadi punca kehancuran bola sepak Perak.

Artikel Berkaitan:

"Kami hanya ingin membawa PAFA kembali semula ke haluan yang betul dan bersama-sama ahli-ahli gabungan untuk melaksanakan program dan aktiviti sukan bola sepak sepertimana yang digariskan oleh Perlembagaan PAFA," katanya.

Jelas Mohd Azhar, pihak PJS diharap dapat memberikan maklum balas segera bagi meleraikan segala kekusutan yang wujud sekali gus memberikan pengesahan mengenai pihak yang mempunyai hak untuk menerajui PAFA.

Pada 24 Disember lalu, Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof memaklumkan pihaknya tidak membuat sebarang kenyataan dalam menentusah atau mengiktiraf mana-mana pihak menerajui PAFA.