Mujahid, Anwar ucap takziah keluarga mangsa tembakan

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengucapkan takziah kepada anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tembakan di sekitar masjid di Christchurch, New Zealand hari ini.

"Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mangsa beroleh syahid yang tertinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Mujahid turut mendoakan agar umat Islam khususnya di New Zealand serta di seluruh dunia dilindungi Allah SWT dan dijauhkan daripada segala bahaya dan ancaman seperti itu.

Turut mengucapkan takziah dan melahirkan simpati ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan tidak bertamadun serta bercanggah dengan nilai kemanusiaan hingga meragut nyawa orang awam.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya dan terus mengikuti rapat kejadian tembakan rambang. Menurut Polis New Zealand, situasi masih bahaya dan mereka masih dalam usaha memberkas pelaku dalam kejadian itu.

"Saya dimaklumkan seorang warganegara Malaysia dilaporkan cedera dan kini dalam keadaan yang stabil. Saya berharap mangsa kuat dan cekal ketika melalui saat ini dan cepat pulih," katanya.

Media hari ini melaporkan berlaku kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch yang dipercayai menyebabkan kematian dan setakat ini seorang rakyat Malaysia disahkan cedera dalam kejadian itu. -Bernama

Artikel Berkaitan: