Kementerian Pertahanan tambah pos kawalan di Sarawak

Mohamad hari ini melakukan lawatan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Penrissen, Batu 8 di sini bagi meninjau kebajikan dan keperluan anggota dan pesara angkatan tentera. - Foto Bernama
A
A

LUNDU - "Kementerian Pertahanan akan menambah bilangan pos kawalan keselamatan di Sarawak bagi mempertingkatkan usaha menyekat kegiatan penyeludupan dan kegiatan keganasan," kata Menterinya Mohamad Sabu.

Katanya, beliau tidak nampak akan timbul masalah penambahan pos keselamatan itu kerana kedua belah pihak, iaitu Indonesia dan Malaysia, akan sentiasa membincangkan perkara ini dari semasa ke semasa.

“Kawalan dan keselamatan di sempadan amat penting untuk melindungi kepentingan keselamatan dan ekonomi kedua-dua negara kerana jika berlaku penyeludupan, kedua-dua negara berjiran akan hilang hasil pendapatan,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Pos Gabungan Malindo (Gabma) Biawak di sini hari ini.

Mohamad berkata lawatan berkenaan adalah satu daripada siri lawatan bagi meninjau keadaan pos keselamatan di seluruh negara seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat antara Malaysia dan Indonesia di Bali baru-baru ini, dan kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama kawalan sempadan.

“Saya nampak di Kem Biawak ini adalah satu daripada contoh kerjasama kawalan sempadan yang dijalankan dengan cara yang begitu baik sekali,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Mohamad menyeru supaya tentera kedua-dua negara terus mengekalkan keamanan.

“Bila sebelah Malaysia maju, Indonesia akan turut maju dan apabila sebelah Indonesia aman dan maju, Malaysia pun akan turut aman dan maju.

“Inilah konsep kejiranan yang perlu kita semarakkan dan saya penuh yakin kerjasama tentera Indonesia dan Malaysia di sempadan akan lebih erat lagi bagi mengeratkan hubungan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang,” tambah Mohamad.

Turut hadir pada lawatan kerja tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Halimi Abd Manaf, Panglima Medan Timur Tentera Darat Lt Jen Datuk Wira Zamrose Mohd Zain, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang dan Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Renjer DiRaja Leftenan Kolonel Anuar Ahmad. - Bernama