Khidmat senior ditagih bimbing pemain muda

Nasihin (kanan) kembali mengendalikan sesi latihan skuad wanita negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu. FOTO: FB MHC
Nasihin (kanan) kembali mengendalikan sesi latihan skuad wanita negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu. FOTO: FB MHC
A
A
A

KHIDMAT pemain senior dalam skuad hoki projek khas wanita yang pernah beraksi pada kejohanan besar ditagih bagi membimbing pemain muda pada kempen Piala Asia 2022 di Muscat, Oman bermula 21 hingga 28 Januari ini.

Ketua jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, ini berikutan tempoh latihan yang singkat bagi menentukan barisan skuad Malaysian Tigress ke Muscat menyebabkan pemain tidak cukup pendedahan.

"Persiapan singkat, tidak boleh buat apa-apa sebab terkesan kepada semua badan bukan sukan sahaja. Kita ada 11 sesi hoki sebelum bertolak ke Oman.

"Pemain senior sangat diperlukan dalam Piala Asia ini tetapi kelebihannya sudah tentu pemain muda bawah 20 tahun. Ia adalah campuran pemain berpengalaman dan tidak berpengalaman," katanya kepada pemberita di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Nasihin yang juga bekas penjaga gol kebangsaan berkata, beliau optimis bahawa 20 pemain terbaik akan mengisi slot kejohanan itu kerana pasukannya kini bebas daripada sebarang kecederaan.

Difahamkan, senarai penuh akan diumum dua hari sebelum pasukan itu berlepas ke Oman pada 16 Jan bagi memastikan latihan teknikal dapat dikuasai oleh semua pemain.

Beliau berkata, pertembungan dengan India, Jepun dan Singapura tidak akan dipandang remeh kerana sudah semestinya mereka menghantar pasukan yang terbaik manakala Korea Selatan dan China perlu turut diberi perhatian.

Pengurus pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani pula berkata, Piala Asia adalah kejohanan terbaik dalam menentukan tahap kemampuan pemain muda untuk dinilai oleh barisan kejurulatihan.

Artikel Berkaitan:

"Banyak benda kena perbaiki, jangan selesa, kena terus bekerja keras, selalu berkomunikasi dengan jurulatih dan pemain senior untuk belajar benda baharu," katanya.

Pencapaian terbaik skuad negara ialah meraih pingat gangsa ketika edisi sulung pada 1985 di Seoul, Korea Selatan manakala pada edisi 2017 di Kakamigahara, Jepun, Malaysian Tigress menamatkan saingan di tempat kelima.