Sila log masuk terlebih dahulu.

PSM pertimbang undang pasukan luar sertai STL

Mohamad Norza (kanan) menerima cenderahati daripada Akramuddin selepas pelancaran STL 2021/2022 di Stadium Titiwangsa pada Jumaat.- Foto Bernama
Mohamad Norza (kanan) menerima cenderahati daripada Akramuddin selepas pelancaran STL 2021/2022 di Stadium Titiwangsa pada Jumaat.- Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) mempertimbang untuk menjemput pasukan dari luar negara untuk merancakkan saingan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2021/2022 di Johor Bahru pada Mac ini.

Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz Safiat berharap dapat memancing pasukan luar negara yang memiliki tahap permainan setanding pasukan tempatan bagi memeriahkan saingan yang dijangka bermula 20 hingga 26 Mac sebaik sahaja kempen Liga Perdana dan Divisyen 1 STL melabuhkan tirainya.

Beliau juga percaya Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) akan ‘merestui’ hajat PSM untuk membawa pasukan luar bertanding dalam kejohanan itu selepas isu larangan pemain import beraksi pada saingan STL musim ini selesai.

"Kita dah lihat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempunyai keakraban yang begitu baik dengan Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader, jadi tiada masalah bagi pihak penganjur untuk membawa pasukan dari negara luar sertai kejohanan ini,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran STL 2021/2022 pada Jumaat.

Turut hadir Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Pada Rabu lepas, ASTAF memberi 'lampu hijau' kepada pasukan yang bertanding dalam STL musim ini untuk menggunakan khidmat pemain import selepas badan induk sukan itu mengeluarkan amaran mana-mana pemain import boleh dikenakan tindakan sekiranya beraksi dalam saingan tersebut apabila psm bukan lagi ahli gabungan mereka.

Mohamad Norza pula berterima kasih kepada ASTAF kerana memberi laluan untuk pasukan yang bertanding dalam STL membenarkan pemain import beraksi selain menjelaskan hubungan baik MOM dengan mereka telah membantu menyelesaikan kemelut dihadapi psm dan penganjur berhubung isu itu sebelum ini.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh pula memaklumkan, tiga bekas ahli gabungan persatuan iaitu Selangor, Putrajaya dan Sarawak boleh memohon untuk kembali bersama PSM selepas Mesyuarat Agung Tahunan berlangsung pada 12 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya pucuk pimpinan baharu PSM serta Ahli Majlis Tertinggi akan mempertimbang permohonan Selangor, Putrajaya dan Sarawak sekiranya mereka berminat untuk kembali ke pangkuan kita,” katanya.

Kemelut PSM bermula pada Mei lepas apabila ASTAF menyingkirkan persatuan itu manakala bekas presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail digantung selama 17 tahun susulan tindakan beliau menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF.

Keputusan itu menyaksikan 11 ahli gabungan, yang dikenali sebagai G11, mengumumkan keluar daripada psm namun majoriti kembali menyertai persatuan tersebut manakala bakinya dilaporkan sedang berusaha mewujudkan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia.

Pada Oktober lepas, lapan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah membuat keputusan untuk kembali ke pangkuan PSM. - Bernama