Johor akan perkenal pelbagai bantuan pasca banjir

Hasni (depan, dua dari kanan) bersama Amy Search (depan, kanan) beramah mesra dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir semasa lawatan ke PPS Pagoh, Muar pada Sabtu. - Foto Pejabat Menteri Besar Johor
Hasni (depan, dua dari kanan) bersama Amy Search (depan, kanan) beramah mesra dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir semasa lawatan ke PPS Pagoh, Muar pada Sabtu. - Foto Pejabat Menteri Besar Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan memperkenalkan pelbagai bantuan pasca banjir bagi meringankan bebanan semua mangsa bencana alam tersebut di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan telah merangka pelbagai bantuan dalam usaha membantu mereka yang terjejas.

"Saya berharap mangsa-mangsa banjir tidak perlu bimbang, kita tidak akan membiarkan mereka (mangsa banjir) begitu sahaja.

"Kerajaan negeri telah merangka bantuan pasca banjir. Bagaimanapun, bantuan akan disalurkan secara berperingkat mengikut keadaan semasa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Hasni sebelum itu mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Sukan Pagoh dan PPS Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Negeri Terlibat Banjir Tahun 2022 (Fasa Satu) dan Bantuan Wang Ihsan Johor Tahun 2022 (Fasa Satu) sebanyak RM1,500 kepada wakil keluarga mangsa banjir.

Lawatan itu turut disertai penyanyi tersohor negara, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 64, yang menghulurkan sumbangan produk kopinya kepada mangsa banjir.

Hasni turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan golongan sukarelawan yang terlibat dalam menguruskan mangsa banjir di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita lihat hari ini (Sabtu) hanya tinggal empat daerah yang masih membuka PPS. Daerah lain telah mula menutup PPS.

"Persediaan banjir pada kali ini begitu baik, semua agensi memainkan peranan masing-masing dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat," katanya.