Sila log masuk terlebih dahulu.

Makaf gugur lima ahli gabungan cuba gugat kepimpinan 2019

Setiausaha Agung Persatuan Karate Malaysia (Makaf) Datuk Nur Azmi Ahmad ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Makaf di Wisma OCM hari ini.  - Foto Bernama
Setiausaha Agung Persatuan Karate Malaysia (Makaf) Datuk Nur Azmi Ahmad ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Makaf di Wisma OCM hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) telah menggugurkan lima daripada 12 ahli gabungannya yang cuba menjatuhkan kepimpinan badan itu pada 2019.

Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ahli gabungan terbabit ialah Persekutuan Karate Goshin Ryu Malaysia, Persatuan Gojukai Malaysia serta Persatuan Karate Negeri Perlis, Pulau Pinang dan Pahang.

Bagaimanapun Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Makaf pada Sabtu bersetuju menerima kembali baki tujuh ahli gabungannya iaitu Persatuan Hayashi-Ha Malaysia, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sarawak, Kedah dan Polis.

Beliau berkata, walaupun lima ahli gabungan terbabit digugurkan daripada Makaf, atlet mereka masih boleh menyertai kejohanan di mana-mana peringkat.

“Sekiranya mahu kembali menyertai Makaf, mereka perlu membuat permohonan baharu dan proses untuk menerima semula mungkin mengambil masa setahun atau lebih awal bergantung kepada kelakuan mereka. Pagi tadi, kita telah memberi peluang kepada mereka untuk menjawab, semua hadir kecuali Pahang.

“Keputusan mahkamah telah memihak kepada kita, jadi mereka telah memohon maaf namun kerosakan telah dilakukan untuk memburukkan imej persekutuan dan presiden (Tan Sri Mohd Ali Rustam) melalui kenyataan media.

“Namun kami telah melupakannya dan bergerak ke hadapan, biarlah ia menjadi pengajaran kepada ahli gabungan yang lain,” katanya kepada pemberita selepas EGM itu di Wisma OCM di sini pada Sabtu.

Nur Azmi berkata, keputusan itu dipersetujui secara sebulat suara oleh 75 perwakilan daripada 18 ahli gabungan yang menyertai EGM berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada Jun 2019, sebanyak 12 ahli gabungan Makaf telah mengadakan EGM dan mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Majlis Eksekutif Persekutuan itu berhubung pelbagai isu dalaman.

Beliau juga berkata, EGM hari ini turut bersetuju meminda Perlembagaan Makaf untuk mengadakan mesyuarat agung empat tahun sekali berbanding dua tahun sekali.

“Kita juga bersetuju untuk gugurkan Majlis Tertinggi, jadi hanya exco sahaja akan buat keputusan untuk elak keputusan bertindih,” katanya. - Bernama