Musim panas mudah terbakar boh...

RAFAIN
RAFAIN
A
A
A

TANAH MERAH - Orang ramai perlu lebih sensitif mengenai cuaca semasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk kebakaran di kawasan semak dan hutan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Rafain Mohd Zain berkata, musim panas boleh menyebabkan kawasan rumput, lalang dan pokok akan luruh dan menjadi kering.

"Perkara ini akan menyebabkan kawasan semak akan mudah terbakar dan merebak.

"Aktiviti penanaman dan berkebun merancakkan lagi pembakaran terbuka di kawasan berkenaan," katanya.

Rafain berkata, jika dilihat pada statistik kebakaran, berlaku peningkatan mendadak berhubung panggilan kebakaran satu atau dua tempat pada masa yang sama.

"Bagi kawasan tepi jalan utama, rumput dan semak mudah terbakar disebabkan haba dari enjin dan putung rokok dibuang merata tanpa memadamkan terlebih dahulu bara di kawasan itu.

"Begitu juga aktiviti menoreh getah di mana lingkaran nyamuk yang digunakan untuk halau nyamuk tidak dipadamkan dan dibuangkan begitu sahaja sehingga menyebabkan kebakaran berlaku," katanya.

Beliau menasihatkan supaya sekiranya terdapat kebakaran lalang di kawasan sekitar, maka masyarakat perlu bersama-sama memadamkan dengan memukul dengan kayu, galah atau menyimbah air sebelum kebakaran itu menjadi besar dan mengancam kawasan sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Jika kebakaran telah merebak dan semakin besar maka orang ramai perlu terus menghubungi balai-balai bomba terdekat untuk memadam kebakaran supaya tidak terus merebak ke kawasan kediaman," katanya.