Sila log masuk terlebih dahulu.

Abu Zahar buat keputusan sendirian?

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan media dikeluarkan oleh enam Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang menyifatkan kenyataan dibuat Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Rabu lalu sebagai pandangan peribadi adalah mengejutkan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, timbul persoalan baharu sama ada keputusan ‘membersihkan’ nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki itu dibuat secara bersendirian.

Justeru, beliau melihat Abu Zahar kini tiada pilihan kecuali memberi penjelasan penuh secara terbuka berkenaan perkara ini atau meletakkan jawatan serta-merta.

“Amat jelas beliau tiada lagi hak moral untuk menjadi Pengerusi LPPR. Malah, kenyataan akhbar enam ahli LPPR ini adalah satu tamparan hebat buat kredibiliti Abu Zahar dan adalah satu bentuk ‘undi tidak percaya’ terhadap beliau.

“Jelas seperti yang dijangka pelbagai pihak, ‘penjelasan’ Abu Zahar dan Azam Baki tempoh hari hanya menimbulkan seribu satu persoalan baharu,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada Sabtu.

Enam ahli LPPR ialah Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Profesor Datuk Mohammad Agus Yusoff dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu, menyifatkan kenyataan yang dibuat Abu Zahar pada Rabu lalu adalah pandangan peribadi beliau.

Menurut kenyataan itu, keenam-enam ahli LPPR berkenaan tidak pernah menyatakan pendapat seperti yang dinyatakan Abu Zahar pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepasnya.

Sebaliknya, mereka mengemukakan cadangan berasingan susulan dakwaan pemilikan saham dengan jumlah melampau berkait dengan Azam.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum sidang akhbar itu, anggota LPPR mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan supaya perkara itu dirujuk selanjutnya kepada mana-mana panel dan jawatankuasa berikut iaitu sebuah jawatankuasa bebas, jawatankuasa khas Parlimen mengenai rasuah atau panel aduan SPRM.

"Bagaimanapun, pandangan dan cadangan kami tidak dibangkitkan pada sidang akhbar Abu Zahar itu," jelas kenyataan berkenaan.

Mengikut rekod SPRM, terdapat tujuh anggota LPPR termasuk Abu Zahar yang juga Pengerusinya.