Kerajaan perlu dapatkan dana antarabangsa: SAM

Meenakshi
Meenakshi
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan perlu mendapatkan dana antarabangsa untuk mengadaptasi perubahan iklim yang berlaku termasuk menyelaraskan sistem ekologi, sosial atau ekonomi negara.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, sebelum ini pihaknya telah menekankan keperluan untuk mempertingkatkan usaha Malaysia dalam mendapatkan dana-dana antarabangsa bagi menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan mempertingkatkan perlindungan hutan serta biodiversiti.

Beliau berkata, tujuannya adalah untuk tidak menggalakkan lagi negeri-negeri dari melakukan pengubahan guna tanah hutan yang akan memburukkan lagi masalah banjir.

"Dana-dana antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFCCC) boleh didapati daripada Dana Iklim Hijau (GCF), Dana Adaptasi, Fasiliti Alam Sekitar Sedunia (GEF) dan Dana Perubahan Iklim Khas (SCCF).

"Matlamat dana-dana antarabangsa ini adalah untuk membantu negara-negara membangun dalam usaha mereka untuk mengurangkan pelepasan gas-gas rumah kaca (tindakan yang dipanggil mitigasi) dan membuat adaptasi dalam menangani kesan-kesan perubahan iklim," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-11, terdapat peruntukan sebanyak RM7.24 bilion bagi perlaksanaan langkah-langkah mempertingkatkan adaptasi dan daya ketahanan negara terhadap perubahan iklim.

Namun begitu, episod banjir baru-baru ini dengan jelas menunjukkan bahawa apa sahaja langkah yang telah diambil setakat ini masih lagi jauh daripada mencukupi.

"Berbanding negara ASEAN lain, Malaysia sedang ketinggalan dalam mendapatkan dana iklim bagi usaha adaptasi.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya, Vietnam telah mendapat AS$ 36.3 juta daripada GCF dan AF bagi projek adaptasi.Thailand telah memperolehi geran AS$ 17.5 juta daripada GCF untuk mempertingkatkan daya ketahanan perubahan iklim mereka. Laos pula telah memperolehi AS$ 20 juta bagi projek adaptasi daripada AF dan GCF," katanya.

Meenakshi berkata, kajian oleh Institut Alam Sekitar Stockholm pada 2016 mendedahkan bahawa di Malaysia, secara umumnya, kerajaannya melihat kerentanan negara berkenaan dengan perubahan iklim adalah rendah, berbanding negara lain di rantau (ASEAN) tersebut.

Akibatnya, beliau berkata, tindakan adaptasi telah diberi keutamaan yang lebih rendah berbanding dengan pembangunan ekonomi.

"Walaupun pada masa ini Malaysia telah memperoleh geran AS$ 3 juta daripada GCF (yang mana setiap negara membangun berhak untuk memperolehinya), untuk membangunkan Pelan Adaptasi Nasional (NAP), kita mesti memahami bahawa dana ini hanyalah untuk penyediaan rancangan tersebut sahaja.

"Ia tidak termasuk dana yang diperlukan untuk pelaksanaan segala tindakan di bawah rancangan tersebut," ujarnya.

Mengulas lanjut,Meenakshi berkata, NAP dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk disediakan dan sumber-sumber kewangan tambahan akan diperlukan pada masa hadapan untuk segala pelaksanaan terhadap tindakannya.

Jelasnya, walaupun penyediaan NAP adalah amat kritikal, namun kita tidak boleh tidak berbuat apa-apa sementara menunggu ia diselesaikan.

"NAP ini dijangka akan bersifat komprehensif, dan sementara menunggu penyiapannya, kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri perlu mempunyai rancangan-rancangan dan projek-projek interim (untuk sementara waktu) yang boleh digunakan untuk memperoleh dana-dana antarabangsa ini bagi projek-projek adaptasi; selain bergantung kepada sumber domestik di mana ia sememangnya tersedia.

"Projek-projek sedemikian boleh merangkumi langkah-langkah berasaskan ekosistem yang akan membantu meminimumkan risiko-risiko kesan buruk perubahan iklim, membina daya ketahanan terhadap perubahan iklim dan mempertingkatkan usaha pengurangan risiko bencana serta kesiapsiagaan kita," katanya.