YB Pasir Gudang, marilah turun jumpa masyarakat

Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerjasama wakil rakyat di daerah ini dalam memberi penerangan kepada masyarakat tentang usaha dilakukan kerajaan negeri dalam menangani isu pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim amat diperlukan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya telah meminta kerjasama dari semua wakil rakyat di daerah itu agar turun kepada masyarakat.

"Saya telah minta kerjasama daripada semua Yang Berhormat (YB) kawasan itu.

"Saya sudah jumpa Ahli Parlimen minta YB kawasan turun jumpa masyarakat dan beritahu apa sebenarnya kita dah buat," katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri Johor hampir setiap hari mengadakan mesyuarat.

"Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri pun dan turun ke sini dan mereka faham serta setuju apa kerajaan negeri buat.

"Jadi kita harap semua YB akan sampaikan kepada masyarakat," katanya.

Semalam Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA) Taman Pasir Putih mendakwa penduduk kawasan itu semakin panik dan hilang haluan mengenai apa yang sedang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Penaja BBPIPA, Muhammad Fauzi Rohani berkata, perkara sedang beterusan itu didakwa berpunca akibat kelewatan kerajaan negeri melakukan kawalan penyebaran.

Katanya, kebanyakan penduduk akhirnya mengambil inisiatif sendiri untuk berpindah selepas berpandangan tiada jaminan bagi keselamatan keluarga masing-masing.

Namun, katanya, sesetengah penduduk hanya memindahkan anak dan ibu bapa mereka kerana memikirkan keselamatan harta benda yang perlu dipantau.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin berkata, penduduk diminta jangan terlalu percaya tular yang disebarkan di media sosial.

Katanya, dari 10 isu ditularkan kemungkinan hanya satu sahaja yang benar dan orang ramai diminta mendapatkan maklumat sahih dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)

"Masyarakat di luar tak perlu panik sebab kita sentiasa monitor kualiti udara di Pasir Gudang.

"Kadang-kadang masyarakat takut lebih-lebih lagi dengan kehadiran tentera-tentera sebaliknya kehadiran tentera kerana kita memerlukan bantuan peralatan mereka," katanya lagi.