Yadim Johor bantu mangsa banjir terputus bekalan makanan

Kakitangan Yadim Johor menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Bukit Mentaus.
Kakitangan Yadim Johor menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Bukit Mentaus.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Johor membantu mangsa banjir di Kampung Bukit Mentaus yang terputus bekalan makanan.

Yadim dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Jumaat berkata, penduduk di kampung tersebut memohon jasa baik untuk dihulurkan sumbangan barangan basah kerana mereka kehabisan simpanan dan tidak dapat keluar kerana terkepung dengan banjir.

"Sebaik mengetahui perkara ini, Yadim Johor segera berhubung dengan penduduk kampung bagi mencari bot untuk menghantar makanan. Alhamdulillah, ALLAH SWT permudahkan urusan apabila ada penduduk yang sudi meminjamkan bot miliknya untuk membantu mereka yang terlibat.

"Sekitar jam 3 petang, sebaik selesai mendapatkan bekalan makanan terutamanya barangan basah, kakitangan Yadim Johor pun segera menyampaikan sumbangan berkenaan. Antara yang disampaikan ialah minyak masak, bawang, kicap, tepung, gula, sardin dan kit makanan sedia dimakan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kediaman mangsa didapati tidak terjejas teruk, namun jalan perhubungan terputus akibat ditenggelami air yang begitu dalam.

"Penduduk Kampung Bukit Mentaus merakamkan penghargaan kerana dapat menyantuni rakyat yang memerlukan dengan pantas tanpa banyak karenah," katanya.

Artikel Berkaitan: