Tiada jemputan majlis angkat sumpah MB baharu: MB Perak

Tangkap layar dari satu grup WhatsApp mengenai mesej tular kononnya ada upacara angkat sumpah petang ini.
Tangkap layar dari satu grup WhatsApp mengenai mesej tular kononnya ada upacara angkat sumpah petang ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menafikan mesej tular mendakwa terdapat upacara mengangkat sumpah bagi pelantikan menteri besar baharu dari BN petang ini.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan menularkan berita tidak benar itu disifatkan sebagai perbuatan tidak sihat oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, penyebaran berita palsu seperti itu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat.

"Saya tak ada apa-apa jemputan setakat ini, jangan buang masa dengan apa yang ditularkan.

"Ada macam-macam khabar-khabar angin, ada tangan-tangan nakal yang begitu kreatif nak menyebarkan khabar angin ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau mahu rakyat Perak menggunakan kreativiti mereka untuk perkara-perkara lain.

"Dia fikir macam seronok tapi sebenarnya tak mendatangkan apa-apa, tak ada manfaat, jadi jangan buat kerja yang merugikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson kali ke-101 di Padang SMK Anderson, di sini.

Artikel Berkaitan:

Semalam, satu mesej tular di aplikasi WhatsApp menyatakan BN akan membentuk kerajaan dan upacara angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang baharu akan diadakan di Istana Iskandariah, petang ini.