Ancaman harimau belang, orang asli takut keluar bekerja

John (kanan) buntu memikirkan masa depannya dan keluarga selepas tidak dapat keluar ke kebun mencari rezeki susulan gangguan harimau liar.
John (kanan) buntu memikirkan masa depannya dan keluarga selepas tidak dapat keluar ke kebun mencari rezeki susulan gangguan harimau liar.
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 2,000 masyarakat orang asli dari 18 kampung di Pos Bihai di sini diselubungi ketakutan untuk keluar bekerja apabila mereka berdepan ancaman tiga ekor harimau belang sejak sebulan lalu.

Dakwa penduduk, gangguan harimau belang itu menyebabkan mereka takut untuk masuk ke kawasan kebun sekali gus menjejaskan punca pendapatan mereka sebagai petani dan penoreh.

Wakil penduduk, John Asu, 50, berkata, gangguan harimau belang itu turut menjejaskan sumber bekalan makanan mereka.

"Bagaimanapun, penduduk ada menerima bantuan daripada pihak kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk meneruskan hidup.

"Sekarang kami hanya bergantung kepada bantuan, hendak keluar ke kebun tidak selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, salah seekor dari harimau itu telah menghala masuk ke Kampung Bihai Lama.

Katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah masuk ke lokasi terbabit bagi tujuan menghalau harimau berkenaan.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, seorang lelaki orang asli maut dibaham seekor harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang maut dikenali sebagai Anek Along berusia 59 tahun.

Susulan itu, Perhilitan Kelantan terpaksa menembak mati seekor harimau belang yang telah menyerang dan membaham seorang penduduk orang asli di kampung berkenaan.

Tembakan itu terpaksa dilepaskan berikutan harimau belang berkenaan telah bertindak meluru ke arah pasukan Jabatan Perhilitan Kelantan semasa proses tangkapan sedang dijalankan pada jam 12.15 tengah hari.