Waspada penularan Covid-19 semasa Tahun Baharu Cina

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BINTULU - Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menyeru masyarakat agar mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut awal Februari depan.

Ini selepas Bintulu merekodkan kes positif Covid-19 baharu melibatkan 15 orang daripada 16 keluarga sejurus pulang dari luar negara baru-baru ini.

Sebelum ini Bintulu diklasifikasikan sebagai zon hijau iaitu tiada kes positif Covid-19 sejak beberapa bulan lepas.

"Saya ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, walaupun Sarawak telah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan diberi pelbagai kelonggaran aktiviti, namun masyarakat tidak boleh mengambil sikap sambil lewa kerana keadaan di Bintulu masih membimbangkan.

"Hanya dalam sekelip mata sahaja kes boleh meningkat kepada hampir dua digit. Ini jelas menunjukkan kita masih belum menang dan mesti terus berwaspada serta tidak lalai dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan," katanya yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa varian baharu dilaporkan seperti Omicron, Delta serta Delmicron, dan yang terbaharu, Florona pula telah dikesan di Israel dan ini sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai.

"Kita tidak boleh mengambil ringan SOP yang dilaksanakan kerajaan, kita harus mengelakkan diri daripada menjadi penyebab untuk virus-virus ini terus merebak dan membahayakan nyawa diri sendiri dan juga orang di sekeliling kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terdapat beberapa persatuan tempatan telah mula menganjurkan beberapa siri aktiviti sempena menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

“Sekiranya aktiviti terbabit tidak dapat ditangguhkan, penganjur atau penyelaras harus memastikan SOP ketat dipatuhi seperti mengawal jumlah kehadiran dan memastikan penjarakan fizikal dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya. - Bernama