Pasca banjir: Kerja-kerja pembersihan selesai hujung Januari ini

Amirudin ketika sidang media khas pemulihan pasca banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Jumaat.
Amirudin ketika sidang media khas pemulihan pasca banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerja-kerja pembersihan pasca banjir di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir dijangka selesai pada hujung Januari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 77,000 tan sampah berjaya dikutip meliputi 47,000 tan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) Sdn Bhd, manakala 30,000 tan sampah dipungut oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak lain.

Menurutnya, fasa pertama kutipan sisa banjir yang bermula sejak 22 Disember lalu djangka selesai sepenuhnya selewat-lewatnya 14 Januari ini, manakala fasa kedua kerja pembersihan akan berakhir pada hujung bulan ini.

"Fasa kedua pembersihan melibatkan kawasan dan longkang yang tersumbat akibat sampah hanyut sewaktu banjir melanda serta akan bermula selepas 14 Januari sehingga hujung bulan ini."

Beliau berkata demikian ketika sidang media khas pemulihan pasca banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, sekitar 784 petugas termasuk 10,000 sukarelawan serta petugas agensi kerajaan, penjawat awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam membantu mempercepatkan kerja-kerja pembersihan akibat banjir.

Ujarnya, sebanyak 3,503 aset kerajaan digerakkan bagi kerja-kerja tersebut.

"Kerajaan Selangor juga berterima kasih kepada kerajaan-kerajaan Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas pelbagai bentuk bantuan yang disampaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, Amirudin berkata, sebanyak 908 unit rumah melibatkan lapan daerah di Selangor yang terkesan akibat banjir dikenal pasti untuk dibaik pulih atau dibina semula setakat Selasa.

Jumlah tersebut melibatkan 876 unit rumah yang memerlukan baik pulih, manakala 32 unit lain perlu dibina semula.

Menurutnya, kerajaan Selangor mengamanahkan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail untuk melihat keseluruhan keadaan rumah-rumah berkenaan dan mengenalpasti bantuan sokongan yang boleh disampaikan kepada pemilik rumah tersebut.

"Kerajaan Selangor akan meneliti senarai penuh untuk dimuktamadkan dan mengumumkan usaha bantuan kepada keluarga-keluarga ini dalam masa terdekat.

"Kita akan padankan keperluan tersebut dengan bantuan-bantuan yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan dan pengumuman bantuan untuk rumah yang musnah atau rosak dalam masa seminggu.

Beliau berkata demikian ketika sidang media khas pemulihan pasca banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengumumkan pihaknya sedang merangka program 'Back To School' khas untuk mangsa-mangsa banjir pada Februari depan.

Ujarnya, sebanyak RM4 juta diperuntukkan untuk program tersebut meliputi 40,000 penerima dalam kalangan pelajar sekolah yang terjejas akibat banjir.

"Mekanisme pelaksanaan program tersebut sedang diperkemaskan, kita akan laksanakan pada Februari nanti dengan senarai nama ketua keluarga yang kita ada.

"Hubungan serta capaian atau kajian dibuat oleh pihak kerajaan Selangor dan agensi serta pemimpin akar umbi melibatkan ketua kampung dan ahli majlis," katanya.