Banjir: Tabika Kemas jadi pusat sehenti semak bantuan baiki rumah

Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid
A
A
A

PUTRAJAYA - Premis dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di lokasi berlakunya bencana banjir, akan dijadikan sebagai pusat sehenti semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pascabanjir untuk memudahkan semakan dan pendaftaran kelayakan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebagai permulaan, pegawai dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan berada di Tabika Kemas Bukit Changgang, Banting, Selangor selama tiga hari bermula Selasa depan bagi tujuan itu.

“Lokasi lain dan tarikh operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi laman web rasmi KPLB dan media sosial rasmi,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Beliau berkata, pada masa ini bancian jumlah rumah yang perlu dibaiki dan dibina semula sedang dilakukan dan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan sebaik data bancian lengkap.

Jelasnya, semua permohonan ketua isi rumah untuk pembaikan rumah perlu dibuat melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah dan pejabat daerah sebelum disah dan didaftarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU, Jabatan Perdana Menteri.

“Tempoh pembaikan semula bergantung kepada tahap kerosakan dan akan dilaksanakan oleh agensi pelaksana, manakala bagi pembinaan semula rumah tempoh masa yang diambil adalah antara tiga hingga empat bulan, bergantung kepada kesediaan tapak,” katanya.

Menurut Mahdzir, KPLB juga telah menggerakkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, bagi membantu mengumpul data penduduk yang terkesan dengan bencana banjir untuk diserahkan kepada PKOB daerah.

Mahdzir berkata, di bawah Program Bantuan Rumah KPLB, peruntukan sebanyak RM15,000 disediakan untuk baik pulih rumah dan RM56,000 untuk bina baharu rumah di Semenanjung serta RM68,000 bagi Sabah dan Sarawak untuk bina baharu rumah.

Artikel Berkaitan:

“Untuk program pembaikan rumah mangsa banjir, saya dimaklumkan bahawa hari ini (Jumaat) KPLB telah memulakan penilaian kerosakan, dijangka kerja-kerja pembaikan akan bermula esok (sabtu) membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang dan Chennah di Jelebu, Negeri Sembilan,” katanya. - Bernama