Polis akan mulakan siasatan terhadap Azam Baki: Hamzah

Tan Sri Azam Baki
Tan Sri Azam Baki
A
A
A

HULU LANGAT - Siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan dimulakan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan berhubung dakwaan terhadap beliau pada Jumaat pagi.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, difahamkan kes melibatkan Azam Baki kini disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Kita baru dapat laporan tapi kita juga telah mendengar bahawa sesuatu kesalahan yang berlaku ada mengikut akta tertentu.

“Kalau kesalahannya dilakukan atas sifat menyalahi akta Security Commision, mereka akan buat siasatan dan kemudian kita akan menerima maklum apa yang berlaku.

“Kalau ada kesalahan lain, akan kita mulakan siasatan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Program Mekar Prihatin Pasca Banjir anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Taman Sri Nanding di sini pada Jumaat.

Azam Baki sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Beliau menegaskan tidak terlibat dalam urusan pemilikan saham, malah tuduhan yang mendakwa terdapat conflict of interest di pihaknya juga tidak berasas.

Azam menjelaskan, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibelinya oleh syarikatnya tiada kaitan dengan siasatan SPRM.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, jelas Azam, saham-saham itu telahpun dipindahkan kepada akaun milik adiknya.

Dalam pada itu mengenai tuduhan yang mendakwa beliau mengawal banyak syarikat, Azam menyifatkan itu satu pembohongan besar oleh pihak-pihak tertentu untuk mewujudkan persepsi negatif terhadapnya.

Begitupun, penjelasan tersebut dilihat tidaklah begitu meredakan keadaan sebaliknya banyak pihak termasuk pemimpin politik mendesak Azam supaya berehat. - Awani