Empat ditahan susulan insiden tembakan masjid di Christchurch

Mangsa tiba di hospital susulan insiden tembakan di masjid Christchurch. - Foto AFP
Mangsa tiba di hospital susulan insiden tembakan di masjid Christchurch. - Foto AFP
A
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Polis New Zealand berkata terdapat beberapa kematian susulan insiden tembakan di dua buah masjid di bandar Christchurch hari ini.

Komisioner Polis Mike Bush berkata, empat orang ditahan susulan insiden, namun pihaknya masih tidak dapat memastikan sekiranya terdapat suspek lain.

"Empat yang ditahan termasuk tiga lelaki dan seorang wanita," kata Bush sambil menambah beberapa bahan letupan turut ditemui dalam kenderaan milik suspek.

Bush mengatakan insiden yang berlaku di dua lokasi berasingan, pertama di sebuah masjid di Dean Avenue dan sebuah lagi masjid di Linwood Avenue adalah amat tragik, dan beliau mengarahkan orang ramai agar tidak keluar dari rumah.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengganggap ia hari yang buruk buat negara.

"Apa yang berlaku adalah tindakan keganasan, dan si pelaku tidak mempunyai tempat di New Zealand," kata Arden sambil melahirkan rasa simpati kepada mereka yang terlibat dalam insiden.

Ambulans bergegas ke lokasi kejadian di bandar Christchurch. - Foto AFP
Ambulans bergegas ke lokasi kejadian di bandar Christchurch. - Foto AFP

Terdahulu, pihak polis dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima laporan bunyi tembakan kedengaran di tengah bandar pada sekitar jam 1.40 tenghari.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada,seorang saksi dikenali sebagai Mohan Ibn Ibrahim berkata,dia berada di dalam masjid ketika kejadian bermula dan tembakan berlarutan sehingga 10 ke 15 minit.

"Saya berada di masjid berkenaan dan terdapat lebih 200 orang di dalamnya.Penembak memasuki masjid dari bahagian belakang.

"Ketika keluar melarikan diri saya melihat seorang mangsa ditembak di bahagian dada," katanya.

Ibrahim menambah seorang lagi rakannya yang berada si sebuah masjid berasingan dan memaklumkan terdapat seorang penyerang yang turut melepaskan tembakan di sana dan lima orang dipercayai maut.

Jurucakap Hospital Christchurch pula memaklumkan beberapa mangsa telah dihantar ke sana namun tidak jumlah sebenar tidak dapat dipastikan.

Pihak berkuasa baru mengesahkan kesemua sekolah yang ditutup di Christchurch telah kembali dibuka dan ibu bapa dibenarkan mengambil anak masing-masing.- CNN/AFP