Suami maut dalam perjalanan ziarah isteri di hospital

Seorang pengawal keselamatan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5.7 Lebuh Raya Butterworth-Kulim arah Butterworth dekat Bukit Mertajam pada Khamis. - Gambar ihsan JPJ
Seorang pengawal keselamatan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5.7 Lebuh Raya Butterworth-Kulim arah Butterworth dekat Bukit Mertajam pada Khamis. - Gambar ihsan JPJ
A
A
A

SEBERANG JAYA - Seorang pengawal keselamatan tidak sempat melawat isterinya yang sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) apabila maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5.7 Lebuh Raya Butterworth-Kulim arah Butterworth dekat Bukit Mertajam.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang Khamis, mangsa yang berusia 39 tahun sedang dalam perjalanan ke HSJ meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 110Z melanggar belakang SUV jenis Proton X70 yang dipandu jurujual berusia 33 tahun.

“SUV itu dikatakan mengalami kerosakan dan pemandunya memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan untuk memeriksa kenderaan.

“Bagaimanapun, selang beberapa minit, motosikal mangsa datang dari arah belakang telah melanggar belakang SUV sehingga menyebabkan mangsa terkorban,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Shafee berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di HSJ semalam mendapati mangsa maut akibat kecederaan parah pada kepala.

Sementara itu, Shafee berkata, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Guar Perahu, Bukit Mertajam menuju ke HSJ bagi melawat isterinya yang sedang sakit.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Awani

Artikel Berkaitan: