Tutup Jalan 4/108a: Kenapa susahkan kami, kata penduduk

Penduduk Razak Mansion yang terkesan dengan penutupan laluan berkumpul bagi membantah tindakan itu
Penduduk Razak Mansion yang terkesan dengan penutupan laluan berkumpul bagi membantah tindakan itu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 2,700 penduduk Pangsapuri Razak Mansion Sungai Besi di sini terjejas berikutan penutupan jalan utama laluan kenderaan dan pejalan kaki di Jalan 4/108a yang menghubungkan laluan keluar ke Lebuhraya Sungai Besi.

Laluan tersebut hanya 400 meter berbanding laluan alternatif sejauh lebih 1 kilometer menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk termasuk kesesakan lalu lintas dan risiko keselamatan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Razak Mansion, Kamarulzaman Mohamad Sharif,47, berkata, penutupan tersebut dibuat pemaju sejak 1 Mac lalu tanpa sebarang rundingan dengan penduduk menimbulkan kemarahan mereka yang sering menggunakan laluan berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini penduduk mempunyai dua pilihan jalan dan laluan yang ditutup itu adalah jalan yang sering digunakan kerana lebih dekat.

“Bila jalan ditutup, yang tinggal hanya satu jalan keluar, itulah jalan masuk itulah jalan keluar.

"Ibu bapa hantar anak ke sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Thung juga terpaksa bersesak untuk masuk dan keluar sehingga 45 minit," katanya.

Katanya, laluan pejalan kaki juga ditutup menyebabkan pengguna bas awam terpaksa berjalan kaki agak jauh.

"Ramai warga emas yang menggunakan kemudahan ini berdepan kesulitan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Kamarulzaman, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengambil perhatian isu berkenaan kerana melibatkan ramai penduduk bukannya menjaga hati pemaju.

Notis DBKL berhubung penutupan Jalan 4/108a. Gambar kecil, Mohamad Kamarulzaman.
Notis DBKL berhubung penutupan Jalan 4/108a. Gambar kecil, Mohamad Kamarulzaman.

“Kita minta sekurang-kurangnya buka laluan ketika waktu puncak bermula jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi.

“Dalam masa sama, buka laluan untuk pejalan kaki ke perhentian bas, penduduk yang gunakan bas tak perlu jalan jauh di laluan yang gelap dan sunyi dan keselamatan mereka lebih terjamin,” katanya.

Terdahulu penduduk Razak Mansion berkumpul menyatakan bantahan terhadap penutupan berkenaan yang menyusahkan mereka.

Pemaju telah memaklumkan berhubung penutupan jalan yang terletak berhampiran sebuah projek pangsapuri itu menerusi satu notis pada 26 Februari atas faktor keselamatan.

Notis DBKL yang di letakkan di laluan berkenaan menyatakan penutupan jalan secara berperingkat Jalan 4/108a bermula 1 Mac 2019 hingga 1 Mac 2022 bagi kerja-kerja naik taraf jalan dan infrastruktur.

Sementara itu, seorang penduduk T Nageswari, 67 berkata, sebagai warga emas dan pengguna kemudahan bas, bukan perkara mudah untuk dia berjalan kaki keluar lebih 1 kilometer ke perhentian bas.

Dia tidak mempunyai pilihan, namun berharap situasi tersebut akan segera berakhir dengan mengambil kira kesusahan mereka.

“Kalau jalan biasa, setengah jam saya boleh jalan perlahan-lahan ke perhentian bas, tapi bila laluan ditutup, saya terpaksa jalan kaki satu jam setengah untuk keluar menunggu bas.

“Saya akan gunakan bas setiap kali untuk ke klinik dan hospital kerana ada masalah sakit kaki dan darah tinggi,” katanya.

Bagi Tai Choo Mee, 78, sepatutnya laluan pejalan kaki tidak ditutup kerana ramai warga emas yang menggunakan kemudahan bas awam termasuk dirinya hampir setiap hari.

“Jalan alternatif gelap dan jauh.

"Saya akan keluar ke Pasar Pudu beli barang keperluan kerana sana lebih murah, kalau nak tutup jalan, bagi bas masuk sini,” katanya.

Peniaga Pasar Razak Mansion, Siti Fatimah Mat Noh, 62, berkata, penutupan laluan itu juga menyebabkan perniagaannya terjejas.

“Bila jalan jem, orang pun tak nak singgah-singgah.

"Dulu boleh jual nasi lemak sehingga 20 kilogram sekarang hanya 10 kilogram,” katanya.