15 ditahan jadikan rumah sewa makmal proses dadah

Eng Lai menunjukkan sebahagian dadah yang berjaya dirampas dalam empat serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada Selasa dan Rabu.
Eng Lai menunjukkan sebahagian dadah yang berjaya dirampas dalam empat serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada Selasa dan Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya lima wanita dan 10 lelaki dalam empat serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada Selasa dan Rabu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua suspek warga tempatan itu mempelajari teknik memproses dadah melalui internet dan daripada rakan-rakan.

Menurutnya, dalam serbuan pertama pada Selasa, pihaknya berjaya menahan seorang wanita dan tiga lelaki tempatan serta menemui makmal mini memproses dadah di sebuah rumah yang disewa di Taman Mastiara, Batu 5, di sini.

"Turut dirampas dadah jenis kanabis anggaran berat 723.50 gram (g), ketamin (0.99 g) dan methamphetamine (0.94 g).

"Turut ditemui bahan kimia dipercayai bahan utama untuk memproses dadah antaranya cecair kimia safer skin, pure aceton 100 peratus, isopropfil alkohol, methanol, dan acetic acid," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Beliau berkata, berbekalkan maklumat daripada suspek, pihak polis menyerbu sebuah rumah di Taman City Jinjang, di sini dan menahan seramai dua wanita dan lima lelaki berusia 25 hingga 35 tahun serta merampas 7.45 g kanabis.

"Hasil soal siasat menyeluruh terhadap semua suspek, serbuan ketiga dilakukan pada 5 Januari (Rabu) sekitar jam 12.30 tengah malam di sebuah kondominium di Jalan Putramas Off Jalan Kuching, Sentul dan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun.

"Polis turut menemui kanabis dianggarkan seberat 12 g, 600 biji erimin 5 (165 g) dan serbuk MDMA (5,078 g)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak polis turut berjaya menahan seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 34 hingga 65 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengedar kepada sindiket berkenaan untuk kawasan Cheras dan Kajang, Selangor.

Eng Lai berkata, jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan seberat 6.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM305,298.

Menurutnya, lapan daripada suspek didapati positif dadah jenis THC dan ketamin dan semakan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah Seksyen 39B, Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.