Suspek bunuh Jong Nam dibawa ke HKL atas faktor kesihatan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suspek kes bunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, Doan Thi Huong dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) atas faktor kesihatan pagi ini.

Peguam yang mewakili suspek, Salim Bashir berkata, suspek hadir ke hospital pada kira-kira pukul 9.20 pagi dengan kawalan ketat polis.

“Dia dibawa ke wad psikiatri untuk pemeriksaan lanjut berikutan faktor kesihatannya... hanya sekadar pemeriksaan kesihatan dan juga tahap mental beliau,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Suspek yang memakai baju kalis peluru dan penutup mulut kemudiannya meninggalkan HKL dengan sebuah van Jabatan Penjara Malaysia dengan kawalan ketat polis pada kira-kira pukul 10.40 pagi ini.

Semalam Bernama melaporkan, Mahkamah Tinggi Shah Alam, menangguh perbicaraan kes bunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam berikutan tertuduh wanita warga Vietnam tidak sihat untuk memberikan keterangannya.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menangguhkan perbicaraan kepada 1 April selepas peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan Thi Huong, 30, memaklumkan bahawa anak guamnya tidak sihat secara fizikal serta mental dan memohon perbicaraan ditangguhkan.

Pada 11 Mac lalu Mahkamah Tinggi di Shah Alam melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah iaitu seorang lagi suspek kes bunuh Kim Jong-nam. – Bernama

Artikel Berkaitan: