Kurang 50 peratus lepasan Palapes daftar Rejimen Askar Wataniah

Zamrose mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Lafaz Pengistiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Palapes Darat Universiti Awam ke-39 di UTM, Johor Bahru, pada Jumaat.
Zamrose mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Lafaz Pengistiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Palapes Darat Universiti Awam ke-39 di UTM, Johor Bahru, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tidak sampai 50 peratus Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat yang mendaftar untuk berkhidmat sebagai Rejimen Askar Wataniah mengikut zon masing-masing selepas ditauliahkan sebagai Pegawai Muda.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain memberitahu, mereka yang berdaftar hanya kira-kira 40 peratus sekali gus berharap lebih ramai lepasan Palapes akan berkhidmat sebagai Rejimen Askar Wataniah pada masa depan.

"Palapes merupakan satu inisiatif dilaksanakan kerajaan bertujuan untuk melahirkan golongan belia yang berkelayakan dan mempunyai semangat patriotik.

"Apabila mereka (Palapes) tamat tauliah mereka tidak diwajibkan untuk masuk tentera, mereka boleh pilih kerjaya masing-masing tetapi kita mohon mereka lapor diri ke Rejimen Askar Wataniah walau kerja di mana sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Palapes Darat Universiti Awam Ke-39 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini pada Jumaat.

Katanya, pendaftaran mereka itu bertujuan membolehkan kerajaan menjalankan pelbagai misi bantuan dan kemanusiaan sekiranya diperlukan.

Jelasnya, Rejimen Askar Wataniah bukan hanya sebagai persediaan untuk menghadapi peperangan, apa yang lebih utama mereka boleh berkhidmat untuk melaksanakan sebarang misi kemanusiaan akibat bencana contohnya semasa banjir.

"Selain itu, kita juga mempunyai sasaran untuk mencapai nisbah 1:1 antara anggota sukarelawan dan anggota tetap, ketika ini penjawatan dalam Tentera Darat adalah seramai 90,000 orang.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif ini diletakkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pelan jangka masa lima tahun manakala bagi pelan jangka masa panjang, kita letakkan dalam inisiatif Army 4nextG," katanya.

Melalui inisiatif itu kata beliau, pihaknya menyasarkan untuk mencapai matlamat berkenaan dalam tempoh 30 tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau mengharapkan penyertaan lebih ramai daripada golongan bukan bumiputera untuk menyertai bukan sahaja Palapes bahkan angkatan tentera.

Menurutnya, pelbagai usaha dan promosi sudah dilakukan dalam usaha menarik minat masyarakat bukan bumiputera agar menyertai badan beruniform tersebut.

"Walaupun proses itu berjalan dengan perlahan namun kami dapat melihat terdapat peningkatan dalam kalangan anggota bukan bumiputera," katanya.