Pelabuhan Tanjung Pelepas antara 15 pelabuhan tersibuk di dunia

Kejayaan mencapai jumlah kendalian 11 juta TEUs kontena pada tahun lalu menjadikan PTP sebagai salah sebuah 15 pelabuhan tersibuk di dunia.
Kejayaan mencapai jumlah kendalian 11 juta TEUs kontena pada tahun lalu menjadikan PTP sebagai salah sebuah 15 pelabuhan tersibuk di dunia.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) mencipta sejarah apabila menjadi pelabuhan pertama dalam negara yang mencapai jumlah kendalian kontena melebihi 11 juta unit bersamaan 20 kaki (TEUs).

Rekod kendalian itu dicatatkan kira-kira jam 10 pagi pada 25 Disember tahun lalu sekali gus mencatatkan nama PTP sebagai salah satu daripada 15 pelabuhan tersibuk di dunia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jumlah yang direkodkan itu sekali gus menyaksikan PTP berjaya mencapai nilai pertumbuhan sebanyak 14 peratus berbanding 9.8 juta TEUs pada tahun 2020.

Katanya, nilai berkenaan dilihat sebagai satu jumlah yang signifikan terutama ketika negara dan seluruh dunia berdepan dengan pandemik Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Ketika pelabuhan-pelabuhan lain di seluruh dunia masih kurang stabil akibat pelbagai isu seperti operasi perniagaan terjejas akibat pandemik Covid-19 yang berterusan, namun berjaya memperoleh hasil yang baik, selain menunjukkan tahap pencapaian yang tinggi dalam mengharungi cabaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Meraikan Pencapaian PTP 2021 di Tanjung Pelepas di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen.

Ka Siong berkata, pertumbuhan PTP yang luar biasa selama ini jelas menunjukkan nilai tambah sektor maritim kepada kesejahteraan ekonomi Malaysia serta kepentingan ekonomi perdagangan kepada negara.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan pelabuhan merupakan penyumbang penting kepada perdagangan antarabangsa Malaysia secara tidak langsung sektor ini amatlah penting kepada kemakmuran ekonomi yang bergantung kepada aspek perdagangan secara amnya.

"Kerajaan Malaysia akan terus menyokong setiap inisiatif pembangunan industri untuk meningkatkan kapasiti terminal pelabuhan, membantu membangunkan sumber manusia, memastikan keselamatan kapal dan navigasi serta memberikan perkhidmatan yang cekap," katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, PTP mempunyai rekod prestasi yang cemerlang bukan sahaja dalam industri maritim dan logistik tempatan tetapi juga kejayaannya dalam membangunkan masyarakat sekitar khusus di kawasan Gelang Patah.

"PTP bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan terminal moden dan terkini, bahkan ia juga memberi peluang kepada masyarakat setempat dari segi pekerjaan dan pelbagai rangsangan pembangunan ekonomi serta sosial yang lain," katanya.