Sisa Lynas wajib keluar, elak tragedi Pasir Gudang berulang

Chean Chung
Chean Chung
A
A
A

KUANTAN - Lynas Corporation Ltd (Lynas) perlu segera mengeluarkan sisa buangan dari kilangnya dari Pahang bagi mengelak berlakunya tragedi seperti di Pasir Gudang.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Ching berkata, Lynas diberikan kelonggaran oleh kerajaan terdahulu bagi menyimpan sisa itu melebihi satu juta tan di negeri ini.

“Jumlah itu cukup banyak dan jika isu tersebut tidak dikawal serta pandangan daripada penduduk tempatan diketepikan, saya khuatir satu hari nanti kita akan menerima akibatnya.

“Justeru, tragedi di Pasir Gudang perlu dijadikan pengajaran dan mencegah lebih baik dari mengubati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Kim Kim dah lama tercemar

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran kimia: Kronologi terkini

Pasir Gudang dicemari sisa-sisa toksik yang mengakibatkan lebih 2,775 mangsa yang terkesan akibat terhidu bahan kimia yang dipercayai dibuang di sungai secara haram.

Mengulas lanjut perkara itu, Chean Chung berkata, kewujudan kilang-kilang haram dan sikap tidak bertanggungjawab pengusaha-pengusaha kilang sama ada yang berlesen atau tidak menjadi punca kepada masalah itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jika langkah-langkah pencegahan telah dibuat lebih awal, kemungkinan kemudaratan seperti apa yang terjadi sekarang dapat diminimum atau dihapuskan.

Tegasnya, Peraturan Akta Kualiti Alam Sekitar 2005 telah digubal dan mensyaratkan bahawa sesebuah kilang tidak boleh menyimpan sisa berjadual lebih daripada 20 tan dan tidak melebih 180 hari.

“Apa yang dilihat adalah peraturan ini tidak dikuatkuasakan, apa pun projek, industri atau aktiviti, keselamatan rakyat perlulah diberi keutamaan berbanding dengan melihat kepada keuntungan semata-mata,” katanya.

Chean Chung yang juga ADUN Semambu berkata, kerajaan kini terpaksa memperbaiki banyak kerosakan di dalam hal-hal seumpama ini seperti melupuskan kewujudan kilang-kilang haram, mengemaskini dan memperketatkan peraturan-peraturan serta memperkasakan lagi penguatkuasaan yang dahulunya amat longgar.

“Sudah sampai masanya kerajaan perlu bertindak tegas kerana rakyat mahukan alam sekitar yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.