Rayuan akhir Rosmah batal bicara, gugur Gopal Sri Ram pada Mac

Rosmah Mansor - Foto Bernama
Rosmah Mansor - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan pada Jumaat menetapkan 24 Mac depan untuk mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek tenaga hibrid solar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Ia turut melibatkan permohonan Rosmah untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan bagi kes itu dan merupakan peluang terakhirnya untuk merayu selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan beliau sekali gus membenarkan bantahan awal daripada pasukan pendakwaan terhadap rayuan tersebut, pada 6 Disember tahun lalu.

Sekiranya gagal, Sri Ram akan terus mengetuai perbicaraan itu dan prosiding diteruskan seperti dijadualkan sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengesahkan perkara itu ketika dihubungi pemberita.

“Mahkamah mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan sebelum 9 Mac ini,” katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar, Siti Hajar Mustaffa, pada Jumaat.

Pendakwaan turut disertai Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn manakala Rosmah selaku perayu diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh.

Sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal atas alasan relif yang dimohon oleh Rosmah adalah berbentuk pengisytiharan (deklarasi) yang mana Mahkamah Jenayah tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Pada 6 Mei 2021, Rosmah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan terhadapnya daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes rasuah dihadapinya.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 September 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, atas alasan pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Tommy Thomas adalah sah.

Ia selain tiada keperluan untuk membahaskan isu kesahihan berhubung fiat (surat pelantikan).

Rosmah kini dibicarakan atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan yang memasuki peringkat bela diri itu akan bersambung Isnin depan dengan suaminya, Najib akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga.

Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan Rosmah membela diri terhadap tiga pertuduhan kes rasuah berkaitan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di No 11 Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat sama di Jalan Langgak Duta.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.