Johor alu-alukan sumbangan topeng R95

Paparan Sinar Harian.
Paparan Sinar Harian.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kesedaran orang ramai menggunakan penutup hidung dan mulut terutama ketika mengadakan aktiviti di luar di daerah ini semakin meningkat.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, ia menunjukkan kebanyakan penduduk Pasir Gudang mengambil langkah pencegahan dalam menghadapi pencemaran kimia yang berlaku sejak 7 Mac lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan sumbangan bekalan penutup hidung dan mulut jenis R95 yang didapati kehabisan stok di sekitar kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu dari negeri lain atau mana-mana pihak.

"Difahamkan bekalan R95 terhad, ramai mengadu sukar untuk mendapatkan bekalan dan kehabisan stok. Pada masa kini ia amat diperlukan terutama bagi kegunaan di pusat saringan. Sehubungan itu, jika ada mana-mana kerajaan negeri lain yang mahu bantu menyumbang R95, kita mengalu-alukan.

"Saya dihubungi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk menyalurkan sumbangan," katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Dr Sahruddin berkata, pihaknya juga berharap agensi berkaitan memantau harga topeng berkenaan bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual dengan harga tinggi.

Semalam, Sinar Harian melaporkan permintaan topeng muka daripada penduduk sekitar pusat bandar ini didapati meningkat secara mendadak dalam tempoh tiga hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Permintaan topeng muka meningkat di Johor

Artikel Berkaitan:

Perkara itu dilihat jelas menunjukkan kerisauan penduduk berhubung isu pencemaran bahan kimia yang berlaku di Sungai Kim Kim di sini, sejak Khamis lalu.

Ahli Farmasi di Taman Bukit Dahlia, Zahirul Faiza Zakaria, 45, berkata, sejak kelmarin lebih 150 kotak topeng muka telah dijual kepada penduduk yang dilihat gusar mengenai isu ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga menerima permintaan pelanggan yang mahu makanan sampingan terbaik untuk melindungi tubuh mereka daripada pencemaran itu.